PETALING JAYA - Kuda tua Singapura, Aleksandar Duric, yang meledak dua gol ketika pasukan itu menang 5-3 ke atas Malaysia, Sabtu lalu bukan asing buat pertahanan kental negara, Aidil Zafuan Abdul Razak.
Aidil pernah bersemuka dengan pemain import Singapura itu pada perlawanan di Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya pada 29 November 2008, yang merupakan pertemuan terakhir Singapura dan Malaysia, sebelum perlawanan Kelayakan Piala Dunia di republik itu Sabtu lalu yang memihak Singapura.
"Berdasarkan pertemuan sebelum ini, kelebihan dan kekurangan yang dimiliki oleh Duric, memang saya ketahui.
"Dia seorang penyerang yang mempunyai kekuatan fizikal, memang agak sukar untuk mengawalnya tetapi dia juga ada kelemahan yang boleh kita ambil kesempatan, khususnya faktor kepantasan.
"Jika saya diturunkan dalam perlawanan Khamis ini, saya akan cuba sebaik mungkin mengemudi benteng pertahanan negara daripada dibolosi," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.
Dalam perlawanan persahabatan yang diadakan tiga tahun lalu itu, Duric menjaringkan kedua-dua gol Singapura pada babak pertama sebelum Malaysia bangkit menerusi jaringan Mohd. Amirul Hadi Zainal dan Mohd. Hardi Jaafar.
Aidil Zafuan berkemungkinan akan diturunkan pada pertemuan esok, selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.
Dia juga berharap kesilapan yang dilakukan oleh barisan pertahanan pada perlawanan pertama Sabtu lalu, tidak berulang.
"Pertahanan kita tidak berapa konsisten dan agak kelam kabut yang menjadi faktor Singapura mudah meledak gol terutama Duric.
"Saya harap pertahanan lebih menekankan komunikasi atas padang bagi mengurangkan kesilapan pada aksi di Stadium Nasional nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment