Wednesday, July 27, 2011

Benteng negara tekad bertindak garang

EMPAT tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya, semalam melafazkan tekad besar mahu bertindak garang tanpa melepaskan sebarang gol menjelang perlawanan pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2014, esok. Mengerti peminat tanah air masih kecewa dengan gelagat mereka melepaskan beberapa ‘gol lembik’ ketika tewas 3-5 kepada Singapura dalam perlawanan pertama di gelanggang lawan, Sabtu lalu, barisan pertahanan diterajui Aidil Zafuan Abd Radzak mahu memadamkan keraguan yang kian menebal terhadap kemampuan mereka.


Aidil bersama tiga lagi tonggak - Mahalli Jasuli, Mohd Fadhli Mohd Shas dan Mohd Asraruddin Putra berjanji barisan benteng akan bertindak berhabis-habisan memastikan gawang pasukan negara tidak lagi dirobek, apa lagi ketika mereka harus bekerja keras mengatasi kelebihan dua gol yang menjadi milik lawan. 

“Antara punca utama saya lihat mengapa benteng kita terlalu rapuh dalam perlawanan pertama adalah masalah kurang berkomunikasi. Jadi, saya akan tekankan perkara ini seandainya diturunkan dalam perlawanan Khamis ini (malam esok). 

“Komunikasi penting kerana kita boleh mengingati antara satu sama lain sekiranya melakukan kesilapan dan mendorong supaya lebih fokus terhadap perlawanan,” katanya selepas latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam. 

Ketika tewas 5-3 di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu, Aidil bagaimanapun tidak beraksi kerana masih dibelenggu kecederaan buku lali, tetapi pertahanan Negeri Sembilan itu dijadualkan menerajui semula benteng selepas disahkan cergas dan boleh beraksi semula. 

“Sudah pasti kami merantai gerakan Aleksandar Duric yang menjaringkan dua gol,” katanya. 

Berdasarkan statistik, benteng negara sudah dibolosi 19 gol dalam lima perlawanan terakhir, lima kali ketika bertemu Singapura, Liverpool (6), Arsenal (4) dan Taiwan (4) dengan majoriti jaringan itu akibat kesilapan mudah. 

Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan pendapat agar ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal memanggil semula pemain berpengalaman seperti Norhafiz Zamani Misbah untuk memperkasakan benteng, tetapi pengendali itu menegaskan dia masih percaya kepada barisan sedia ada. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...