Saturday, July 23, 2011

Sime Darby belasah Pahang untuk ke Piala Malaysia

KUANTAN 23 Julai - Pasukan Sime Darby berjaya merebut tempat ke Piala Malaysia apabila membelasah Pahang dengan agregat 6-0 pada perlawanan play off kedua di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Kelebihan empat gol pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lepas meniupkan semangat kental buat pasukan bimbingan Ismail Zakaria untuk menambah dua gol di tempat lawan bagi melengkapkan kemenangan dengan agregat 6-0.

Perlawanan babak pertama berlangsung secara seimbang apabila kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan bagi mencipta gol.

Namun, pada separuh masa kedua, Pahang terus ditekan menerusi jaringan tambahan Sime Darby hasil rembatan Mohd. Faizal Esahar dari dalam kotak penalti pada minit ke-46.
Seminit kemudian, pengadil melayangkan kad merah kepada pemain Sime Darby A.Varathan selepas mengasari Mohd. Munir Amran, yang turut menerima kad merah kerana bertindak balas terhadap asakan berkenaan.

Kekurangan seorang pemain tidak menghadkan asakan Sime Darby apabila menambah jaringan pada minit ke-80 hasil lorongan Mohd. Raimi Mohd. Noor ke depan gawang sebelum disempurnakan Mohd. Faizal Mansor.

Pada perlawanan sebelum ini, Sime Darby memperoleh empat gol menerusi jaringan Mohd. Faizal Esahar, Mohd. Nor Ismail, Yusri Abas dan Mohd. Badrul. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...