Tuesday, July 19, 2011

Zamani ketua pasukan Pilihan Malaysia

ONG Kim Swee bersalam dengan pengurus Chelsea, Andres Villas-Boas selepas sidang media kedua-dua pasukan di Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Ong Kim Swee bakal mempertaruhkan bekas orang besi skuad negara, Norhafiz Zamani Misbah sebagai ketua pasukan bagi menghadapi Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Walaupun sedar pemain pertahanan pasukan Negeri Sembilan itu baru sahaja cergas selepas pulih daripada kecederaanAnterior Cruciate Ligament atau ACL, jurulatih skuad Olimpik negara itu tidak gentar mengambil risiko memilih Norhafiz sebagai ketua pasukan.

"Saya tahu Zamani baru pulih daripada kecederaan, tetapi saya perlukan seorang pemain berpengalaman untuk membimbing pemain muda dan senior dalam pasukan, terutama bahagian pertahanan.

"Mungkin ada orang bimbangkan tahap kecergasannya, tetapi pada sesi latihan saya nampak dia semakin menunjukkan peningkatan daripada segi prestasi dan kecergasan, " katanya sidang media di sini, semalam.

Zamani bukan nama asing dalam skuad negara, malahan dia merupakan antara pemain berpengalaman yang pernah menghadapi Chelsea sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2003 dan 2008.

Pengendali dari Melaka itu menyenaraikan sembilan pemain senior yang akan beraksi bersama skuad Harimau Muda di samping beberapa pemain dari negeri lain bagi membentuk pasukan yang dipanggil 'Pilihan Malaysia' ekoran skuad Harimau Malaya mahu memberikan fokus terhadap pertemuan penting dengan Singapura, Sabtu ini.

Antara muka-muka lama yang memperoleh kepercayaan Kim Swee selain Norhafiz Zamani ialah Farizal Marlias, Amri Yahyah, Hairuddin Omar, Mohd. Daudsu Jamaluddin dan S. Subramaniam.

Selain itu, Kim Swee mengingatkan perlawanan dengan Chelsea tidak akan menjadi ukuran penilaian dalam memilih pemain yang akan memikul cabaran sepanjang pusingan Kelayakan Akhir Olimpik.

"Jika saya mahu memilih kesebelasan utama dalam skuad Olimpik, lebih baik saya gunakan pemain Harimau Muda sahaja, tetapi saya buat masa sekarang kehilangan tujuh pemain yang bersama skuad kebangsaan.

"Jadi, saya fikir lebih baik saya beri peluang kepada pemain berpengalaman yang tidak terpilih mewakili skuad kebangsaan untuk beraksi bersama skuad Harimau Muda bagi memberi keseimbangan dalam pasukan ini, " katanya.

Kim Swee juga berkata, dia hanya akan menyenaraikan 20 atau 21 pemain untuk berdepan Chelsea namun berjanji akan memberikan peluang kepada semua pemain beraksi.

"Semua pemain bakal mendapat peluang untuk diturunkan dengan sekurang-kurangnya 30 minit dalam perlawanan Khamis ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...