Mohd. Safee Mohd Sali cuba melepasi asakan pemain Liverpool, Dirk Kuyt pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin. Liverpool menang 6-3. |
KUALA LUMPUR - Perlawanan menentang tiga gergasi Liga Perdana Inggeris memberi persiapan berkualiti buat pemain Malaysia menjelang dua saingan penting - kelayakan Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2012, bukan sekadar pertunjukan hiburan yang tidak memberi manfaat, tegas bintang penyerang kebangsaan, Safee Sali.
Safee menegaskan, dua perlawanan yang sudah ditempoh Malaysia, menentang Arsenal, Rabu lalu dan Liverpool kelmarin berjaya mendedahkan kepincangan serta kelemahan skuad negara, sekali gus membantu jurulatih, Datuk K. Rajagobal mencari pendekatan taktikal yang sesuai sebelum bertandang ke Singapura untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Sabtu ini.
Bagi pemain pula, peluang berdepan barisan antarabangsa Reds telah menyuntik keyakinan tambahan buat mereka, apatah lagi Singapura memiliki ramai pemain yang berasal dari luar negara, justeru berdepan pemain asing tidak lagi menjadi satu kejutan buat mereka.
Safee, 27, yang meledakkan dua gol ketika Malaysia tewas 3-6 kepada Liverpool menyangkal keras dakwaan segelintir pihak yang menganggap tiga aksi persahabatan menentang kelab England hanya pembaziran dan tidak memberi sebarang manfaat kepada skuad kebangsaan.
Satu lagi perlawanan persahabatan yang akan berlangsung adalah melibatkan Chelsea menentang skuad Harimau Muda (Olimpik), Khamis ini.
"Tiga perlawanan ini memberi banyak manfaat, baik kepada skuad Harimau Malaya mahupun Harimau Muda. Saya sendiri terlibat secara langsung di atas padang, jadi saya tahu bagaimanakah pengalaman, pendedahan serta kepentingan yang dibawa oleh pemain-pemain antarabangsa kepada pemain kita.
"Buat pemain, kami banyak belajar mengenai skil dan teknik yang dimiliki oleh pemain bertaraf antarabangsa, sekali gus menggunakannya untuk memperbaiki permainan sendiri.
"Bagi mereka yang menganggap perlawanan ini tiada manfaat, itu tidak betul. Mereka melihatnya sebagai orang luar yang tidak terlibat secara langsung dengan perlawanan, jadi mereka tidak nampak atau memahami apa yang kami perlukan sebagai pemain atau jurulatih,'' kata Safee ketika dihubungi semalam.
Mengulas mengenai dua jaringan yang berjaya diledak ketika menentang Liverpool kelmarin, kata Safee, prestasinya kini sudah kembali ke tahap terbaik, malah keyakinannya semakin meningkat selepas perlawanan menentang Liverpool.
Dia amat berharap momentum itu diteruskan, Sabtu ini kerana kejayaan menjaringkan gol di tempat lawan mampu memberi kelebihan besar buat Malaysia sebelum kembali ke Kuala Lumpur, 28 Julai ini.
"Prestasi dan keyakinan saya selepas perlawanan dengan Liverpool sangat baik, harap saya berpeluang untuk menjaringkan gol ke atas Singapura kerana hanya jaringan tempat lawan dapat memberi kelebihan kepada kita apabila kembali ke Kuala Lumpur nanti.
"Memang Singapura memiliki ramai pemain import, namun selepas dua pengalaman berguna yang diperoleh Malaysia ketika menentang Liverpool dan Arsenal, saya tidak nampak itu akan menjadi satu masalah yang besar buat pemain. Apa pun, kami akan melakukan analisis mengenai permainan Singapura sebelum berlepas ke sana,'' katanya lagi.
Sementara itu, Safee turut terpanggil untuk mengulas mengenai rasa kurang senang sebahagian penyokong kebangsaan dengan kenyataannya bahawa semangat Manchester United menjadi faktor dia beraksi cemerlang ketika berdepan Liverpool, sekali gus meletakkan dirinya dalam situasi bahawa dia bermain demi kelab Inggeris itu.
"Saya hanya bergurau ketika saya cakap bahawa Manchester United adalah inspirasi saya, ia tidak membawa sebarang maksud yang serius. Sudah tentu saya bermain demi maruah Malaysia dan saya bangga menyarung jersi Malaysia.. Saya akui, saya peminat setia United, tetapi saya tetap pemain Malaysia.
"Saya minta maaf kerana kenyataan saya ini menyinggung peminat Malaysia, saya tidak sangka gurauan saya dengan wartawan telah ditukar menjadi bahan berita,'' ujar Safee.
No comments:
Post a Comment