Harimau Muda diundi bersama Jepun, Syria, Bahrain kelayakan Olimpik
DIUNDI bersama Jepun, Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C pusingan ketiga kelayakan zon Asia 21 September ini, jurulatih Ong Kim Swee akui skuad Olimpik negara berdepan tugas sukar.
Namun tumpuannya lebih menjurus untuk memperkemas dan memperbaiki kesilapan barisan Harimau Muda tanpa terlalu mahu memikirkan lawan yang bakal menentukan nasib negara pada pusingan berkenaan.
“Kumpulan mana sekalipun, cabarannya tetap sama,” kata Kim Swee selepas majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam. “Jepun adalah juara Sukan Asia. Itu bukan satu tugas mudah untuk kita.
“Bahrain dan Syria pula pasukan Timur Tengah yang semakin meningkat, terutama Syria yang sentiasa bermain dalam kejohanan besar, baik AFC mahupun FIFA. Yang perlu saya lakukan kini ialah memperkemas dan membaiki kelemahan, daripada memikirkan pasukan lawan.
“Saya akan cuba dapatkan maklumat tiga pasukan ini, dan strategi yang kita lakukan sama seperti ketika menghadapi Lubnan - bermain mengikut kekuatan pasukan lawan.”
Untuk pusingan penentuan kelayakan ini, Kim Swee turut menyenaraikan beberapa nama baru bagi memperkuat skuadnya yang akan memulakan latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Isnin ini.
“Ini peluang terbaik untuk pemain yang dipanggil membuktikan kemampuan dan jika prestasi memuaskan hati, saya akan membawa mereka ke Slovakia untuk sesi latihan dan pemilihan terakhir,” kata Kim Swee.
Katanya, dia akan cuba mengatur satu atau dua perlawanan persahabatan antarabangsa di negara Eropah Timur itu sebelum bertemu Jepun, dengan Korea Selatan menjadi menjadi antara lokasi pilihannya.
Skuad Olimpik pimpinan Kim Swee melakar sejarah baru apabila melepasi dua pusingan awal kelayakan hasil kemenangan ke atas Pakistan dan Lubnan. Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan ketiga adalah pada 1984.
No comments:
Post a Comment