Saturday, July 30, 2011

FAM tidak tolak kemungkinan ada pihak jual tiket palsu

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan terdapat penjualan tiket palsu menyebabkan ramai penonton terpaksa berdiri bagi menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut.

"FAM hanya mengeluarkan 87,000 tiket, bersesuaian dengan kapasiti Stadium Nasional yang boleh menampung kira-kira 100,000 penonton.

"Kita mengawal pengeluaran tiket bersesuaian dengan kapasiti stadium dan keadaan penonton terpaksa berdiri tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika dihubungi, semalam.

Azzuddin juga menolak keras dakwaan yang menyebut bahawa FAM mencari keuntungan berganda dengan mencetak tiket perlawanan melebihi kapasiti stadium.

Malaysia gagal ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia biarpun seri 1-1 dengan Singapura untuk memperolehi agregat 4-6.

Sementara itu, penyokong Harimau Malaya Mohd Zahir Samsuddin dari Bangi berkata, beliau kecewa kerana terpaksa menyaksikan perlawanan kelmarin secara berdiri dan tidak dapat melihat dengan jelas aksi pemain di padang.

"Bukan mudah bagi saya untuk mendapatkan tiket perlawanan kerana terpaksa beratur panjang untuk membelinya, tetapi tidak mendapat kepuasan menyaksikan perlawanan seperti yang diharapkan," katanya.

Siti Roziah Yusof dari Klang pula beliau harap pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan tegas agar penjualan tiket palsu dapat dikawal dan tidak menyusahkan penonton.

"Saya harap tindakan tegas diambil oleh FAM bagi memastikan mereka yang mencari keuntungan dengan jalan mudah ini tidak terus menyusahkan orang ramai," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...