Thursday, July 21, 2011

Lawan 'Singa' tanpa kelibat Mat Yo

Norshahrul Idlan Talaha (kiri) terlepas peluang mewakili negara menentang Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, esok.

KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Malaya akan menyeberangi Tambak Johor hari ini tanpa khidmat Norshahrul Idlan Talaha yang digugurkan daripada 24 senarai akhir yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Ketiadaan Norshahrul bukannya kerana masalah prestasi tetapi ekoran kecederaan otot pelipat lutut(hamstring) yang dialaminya semasa beraksi menentang Arsenal pada 13 Julai lalu, belum pulih.

Kehilangan Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo pastinya merencatkan sedikit perancangan Datuk K. Rajagobal yang mahu melihat Safee Sali dan penyerang Kelantan itu kembali bergandingan.

Apa pun, ketiadaan Mat Yo mungkin membuka peluang kepada Abdul Hadi Yahaya atau Ahmad Fakri Saarani untuk diturunkan di barisan serangan di samping beberapa pilihan lain yang ada seperti Izzaq Faris Ramlan, Ismail Faruqi dan Baddrol Bakhtiar mengisi slot penyerang bantuan.

Sebaliknya, berita itu pasti memberikan khabar gembira kepada Singapura memandangkan Mat Yo mempunyai tahap keserasian yang tinggi dengan Safee untuk merobek gawang lawan seperti mana dibuktikan ketika mengalahkan Indonesia di pentas akhir Piala AFF tahun lalu.

Selain Mat Yo, dua lagi rakannya dari Kelantan, S. Chanturu dan Mohd. Shakir Shaari turut menerima nasib yang sama apabila tidak disenaraikan di samping seorang lagi penyerang dari Johor FC, Shahrizal Saad.

Apa yang menarik, Rajagobal membawa masuk begitu ramai pertahanan dengan sembilan pemain disenaraikan, satu jumlah yang dilihat agak besar selepas persembahan barisan belakang negara itu dikritik hebat semasa perlawanan berdepan Arsenal dan Liverpool baru-baru ini kerana melepaskan 10 jaringan kepada lawan.

Bagi posisi pertahanan tengah sahaja, Rajagobal mempunyai banyak pilihan kerana boleh menurunkan Mohamad Aidil Zafuan, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Farisham Ismail atau Mohd. Rizal Fahmi Ab. Rosid.

Pada posisi tengah, tiada sebarang kejutan besar dilihat dengan beberapa muka sama iaitu ketua pasukan, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Mohd Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Mohd. Ashari Samsudin, K. Gurusamy masih mendapat kepercayaan Rajagobal.

Cuma persoalan paling menarik, antara Khairul Fahmi Che Mat atau Sharbinee Allawee, siapakah penjaga gol yang akan menjadi pilihan jurulatih untuk diturunkan di Stadium Jalan Besar?

Persembahan Khairul Fahmi dilihat sedikit menurun pada dua perlawanan terakhir sementara Sharbinee didapati begitu semakin menyerlah jika aksinya ketika bertemu Taiwan pada pusingan pertama dijadikan ukuran.

Sementara itu, peluang penjaga gol ketiga, Nasril Nourdin juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana turut mempamerkan aksi yang baik semasa berdepan Arsenal dan Liverpool.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...