KEJAYAAN meraih gelaran Kasut Emas dengan meledak 20 gol bagi saingan Liga Super membuktikan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya adalah seorang penyerang yang berbahaya apabila mendapat peluang.
Namun penyerang berusia 26 tahun itu masih perlu berusaha untuk membuktikan ketajamannya di pentas antarabangsa selain mendapatkan kepercayaan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang sudah mempunyai dua penyerang berbisa iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Sali.
“Saya berjanji akan memberikan aksi terbaik menentang Singapura selain mengharapkan sentuhan jaringan dapat berterusan apabila menyarung jersi Harimau Malaya nanti.
“Secara peribadi, saya merasakan masih perlu membaiki corak permainan kerana ketika menentang Taiwan saya gagal menggunakan peluang yang terhidang dengan baik,” katanya.
Pemain kelahiran Klang, Selangor itu gagal menjaringkan sebarang gol pada dua aksi pusingan pertama menentang Taiwan walaupun mendapat beberapa peluang keemasan dengan kapten Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim dan tonggak pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak masing-masing meledak dua gol. Ketajaman penyudah Abdul Hadi bagaimanapun sudah terbukti sebelum ini apabila pernah meledak satu gol untuk menyelamatkan Harimau Malaya daripada tewas kepada Hong Kong pada perlawanan persahabatan pada awal bulan lalu.
Tempoh dua minggu sebelum menentang Singapura adalah peluang terbaiknya untuk membina persefahaman lebih mantap bersama rakan sepasukan terutamanya jika digandingkan bersama Norshahrul dan Mohd Safee.
“Saya kini memberikan tumpuan penuh pada perlawanan ini. Tidak ada komitmen lain lagi. Saya memang harap agar dapat meningkatkan lagi prestasi kerana sebagai penyerang saya mahu menjaringkan gol dan membantu pasukan,” katanya.
Harimau Malaya akan menentang Singapura pada 23 Julai ini di Stadium Jalan Besar yang juga adalah perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia sebelum menanti lawan pada 28 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.
No comments:
Post a Comment