PETALING JAYA - Penuh teka teki! Sama ada bermain secara bertahan atau menyerang? Jurulatih Singapura, Radojko (Raddy) Avramovic tidak mahu mendedahkannya.
Bagaikan bermain psikologi dengan pengendali negara, Datuk K. Rajagobal, jurulatih yang berasal Serbia itu tidak menyatakan secara terperinci bagaimana Singapura bakal beraksi pada malam ini ketika menghadapi Harimau Malaya.
''Setiap perlawanan adalah berbeza dan semua pemain telah bersedia menghadapi Malaysia.
''Tidak mustahil kami akan bermain secara bertahan pada perlawanan esok. Kita akan lihat, " katanya pada sidang media di Wisma FAM, semalam.
Namun, dia mengakui kelebihan dua gol masih belum selamat buat Singapura dan peluang buat kedua-dua pasukan masih terbuka kepada kedua-dua pasukan.
Dalam masa sama, dia enggan mengatakan Singapura terlalu bergantung kepada Mustafic Fahrudin dan Hariss Harun, sebaliknya menganggap semua pemain memainkan peranan masing-masing dalam pasukan.
''Semua orang adalah sama penting, bukan terletak kepada satu atau dua pemain sahaja. Kami harus bekerja sebagai satu pasukan," ujarnya.
Selain itu, dia gembira dengan sambutan hangat daripada penyokong negara kerana itu menunjukkan satu pengiktirafan kepada bola sepak kedua-dua negara.
''Saya rasa tidak ada masalah dengan kebanjiran para penonton sehingga 85,000 orang, bagi saya itu adalah satu perkembangan baik kepada bola sepak di rantau ini," katanya.
Sementara itu, penyerang Singapura, Fazrul Nawaz berkata, beraksi di hadapan puluhan ribuan penyokong Malaysia bukan satu masalah buat dirinya.
''Kami pernah ada pengalaman bermain di hadapan lebih 85,000 penyokong dan kami masih mampu mengatasi lawan. Saya tidak fikir kami ada masalah besar menangani sorakan penyokong lawan.
''Kami mahu mendapatkan kembali keyakinan penyokong selepas gagal menyinar kejuaraan AFF dan mencapai sasaran kami serta melayakkan diri ke peringkat seterusnya," katanya.
No comments:
Post a Comment