Thursday, January 24, 2013

1,001 persoalan kad merah Amri


Sumber: Metro Online

Kuala Lumpur: Ada nada terkilan disuarakan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim dengan mutu pengadilan selepas menyaksikan penyerang, Mohd Amri Yahyah dilayangkan kad merah ketika seri 1-1 dengan Perak dalam aksi Liga Super kelmarin.

Menurut Irfan, tindakan pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad melayangkan kad kuning kedua kepada Amri pada minit ke-41 menjejaskan rentak permainan pasukannya yang mahu memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi di Stadium TLDM Lumut itu.



Sebelum itu Amri menerima kad kuning pertama di awal permainan kerana sengaja menjatuhkan badan dalam kotak penalti.

“Saya gembira persembahan dipamer pemain. Walaupun beraksi 10 pemain tapi masih beri tentangan kepada Perak. Jika kami miliki 11 pemain, mungkin keputusan berbeza.

“Saya berada di tepi garisan dekat dengan insiden Amri dilayangkan kad merah. Amri hanya menunjukkan isyarat kepada pengadil bahawa bola lontaran ke dalam sepatutnya diberikan kepada Selangor, dia tidak menunjukkan sebarang isyarat yang tidak bagus.

“Saya juga tidak mendengar Amri ada bercakap dengan pengadil, dia cuma menunjukkan isyarat bola terkena kaki pemain Perak. Saya fikir pengadil nampak situasi itu, dia boleh membatalkan keputusan penjaga garisan itu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Walaupun kekurangan seorang pemain, skuad Gergasi Merah berjaya mendahului permainan pada babak kedua menerusi gol Francis Forkey Doe di minit ke-65 sebelum pasukan tuan rumah mengikat kedudukan pada minit ke-80 hasil sepakan penalti Abd Hadi Yahya.

Pada perlawanan itu, beberapa keputusan Zulkifli turut dipertikai termasuk membatalkan dua gol Perak menerusi percubaan Hadi pada minit ke-27 dan Khairul Asyraf Shaizah di minit ke-81 kerana didakwa ofsaid.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...