Wednesday, January 9, 2013

Bukan RM250,000 tapi RM318,500

Sumber: Metro Online
 
Kota Bharu: Penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha diminta memberi penjelasan berhubung bayaran menggunakan bank draf berjumlah RM250,000 yang diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), kelmarin.
 
Penasihat Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata, Norshahrul atau Mat Yo tidak menyatakan sama ada jumlah itu untuk bayaran perpindahan atau pampasan tebus kontrak yang masih berbaki 13 bulan bersama Kelantan sebelum berpindah ke Johor Darul Takzim.

“Kami ada menerima bank draf daripada Mat Yo berjumlah RM250,000, namun kami masih samar kerana dia tidak menyatakan bayaran itu untuk apa.

“Harus diingat, bayaran perpindahan dan pampasan tebus kontrak dua perkara berbeza dan saya harap Mat Yo dapat menjelaskan perkara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bonus sempena kejayaan menjulang Piala Malaysia tahun lalu dan merangkul tiga kejuaraan di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Lundang, di sini semalam.

Dalam majlis itu, pemain dan pengurusan Kafa menerima habuan lebih RM500,000, tidak termasuk nilai ganjaran lot tanah kerana kejayaan musim lalu itu.

Sementara itu, Annuar tetap bertegas nilai pampasan tebus kontrak Mat Yo bukan berjumlah RM250,000 sebaliknya RM318,500 berdasarkan jumlah gaji dan elaun rumah selama 13 bulan baki kontrak. Katanya, mengambil contoh kes yang pernah dikendalikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pemain yang masih terikat kontrak dengan pasukan lama tapi berpindah ke pasukan baru, jumlah pampasan tebus kontrak berdasarkan kepada kedua-dua kontrak yang ditandatangani pemain.

“Jika hanya bayar RM250,000, untunglah kalau begitu. Kami juga boleh ambil pemain yang ada kontrak bernilai berjuta-juta tapi bayar RM250,000 seperti ditetapkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dan terus bermain dengan pasukan baru. “Itu tidak betul dan tidak seharusnya berlaku. Mustahil bagi seorang pemain yang dinobat ‘Pemain Paling Bernilai’ tiga tahun berturut-turut hanya bernilai RM250,000.” Menurutnya, Mat Yo juga belum mendapat sijil perpindahan daripada KAFA dan sepatutnya tidak boleh beraksi bersama pasukan baru.

Sementara itu, mengulas mengenai bonus, Annuar berkata, bonus yang diberi atas inisiatif mereka, termasuk sumbangan kerajaan negeri yang menghadiahkan pakej menunaikan umrah.
“Pemain yang sudah berpindah ke pasukan lain boleh menghantar tawaran untuk mengikuti rombongan menunaikan umrah dijangka pada 7 atau 20 Julai ini. Kepada pemain yang bukan beragama Islam pakej itu akan ditukar kepada wang tunai.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...