Tuesday, January 8, 2013

Karim rencat congak Azraai

Sumber: Metro Online
 
Ipoh: Kecederaan beberapa tonggak termasuk awang import, Karim Rouani merencatkan perancangan Mohd Azraai Khor Abdullah untuk menurunkan barisan terkuat pada perlawanan pembukaan Liga Super menentang T-Team di Stadium TLDM, Lumut, malam ini.
 
Begitupun jurulatih berpengalaman itu tetap tenang menghadapi situasi gawat yang pasti tidak digemari mana-mana pengendali dalam usaha memulakan kempen dengan nota ceria.

Malah Azraai tetap membawa bekas penyerang BEC Terro Sesana itu bersama rombongan 23 pemain ke Lumut pagi semalam dengan harapan dapat menurunkan penyerang tinggi lampai itu.

“Saya masih memantau kecederaannya. Segala-galanya bergantung pada laporan kesihatan pemain itu dalam sesi latihan terakhir esok,” katanya sebelum berlepas ke Lumut, pagi semalam.

Selain Karim, Azraai juga tidak dapat menurunkan pemain pertahanan, V Thirumurugan yang mengalami semula kecederaan lamanya baru-baru ini.

“Saya mahu dia berehat agar sembuh sepenuhnya. Saya tidak mahu tergesa-gesa menurunkan Thiru kerana tidak mahu memburukkan lagi kecederaan.”
 
Azraai berkata, kekosongan yang ditinggalkan pemain tonggak termasuk kapten, Shahrulnizam Mustapa dan S Chanturu, membolehkan beberapa pemain muda, Muhd Syamil Khairi, Muhd Haizal Faquan Sadarudin dan M Yoganathan diserapkan ke dalam pasukan.

“Ini peluang pemain muda ini menunjukkan kemampuan mereka jika diturunkan sekali gus mengotakan janji saya kepada Presiden Pafa mengetengahkan mereka dalam usaha membentuk pasukan mantap berterusan.” Sementara itu ketiadaan Shahrulnizam menyaksikan tonggak benteng, Mohd Sharom Abdul Kalam memakai lilitan lengan kapten pasukan malam ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...