Sumber: Berita Harian Online
Kuantan: Lima gol daripada lima perlawanan dalam saingan Liga Super membuktikan penyerang Pahang, Mohd Fauzi Rozlan adalah antara penyerang terbaik negara pada masa ini.
Justeru, pemain berumur 25 tahun itu berazam memikat hati jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal memastikan impian beraksi bersama skuad negara yang akan menentang Qatar pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menjadi kenyataan.
Fauzi yang lebih mesra dengan panggilan Kojie tidak tertekan biarpun sedar perlu bersaing dengan pemain lebih senior seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha sebelum diberi ruang mengisi tugas penggempur skuad kebangsaan nanti.
Hadapi cabaran besar
“Apabila dipanggil mengikuti latihan pusat skuad kebangsaan, perasaan teruja memang ada tetapi saya perlu lebih bersedia menghadapi cabaran besar kerana harus membuktikan kemampuan terlebih dulu.
“Saya tidak gentar kerana cabaran baru yang datang ini memberi lebih motivasi supaya lebih bersedia untuk menghadapi situasi itu biarpun baru kali pertama dipanggil mengikuti latihan pusat,” katanya semalam.
Selasa lalu, Rajagobal yang menyaksikan perlawanan antara Pahang dan Terengganu yang berkesudahan tuan rumah menang 3-0 memuji corak permainan dipersembahkan Fauzi.
“Saya lihat dia (Fauzi) pemain bagus dan tidak teragak-agak menyenaraikannya. Bagi saya, pemain yang menyinar dalam liga perlu diberi peluang mewakili skuad negara,” katanya.
Hari ini, seramai 26 pemain mula menjalani latihan pusat selama tiga hari di Wisma FAM Kelana Jaya, sebelum skuad kebangsaan berlepas ke Dubai untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq pada 31 Januari ini.
No comments:
Post a Comment