Tuesday, January 8, 2013

PDRM garang, Johor kena ikat - Liga Premier 7 Jan 2013

Sumber: Utusan Online
 
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaungkan amaran awal pada saingan Liga Perdana apabila membelasah NS Betaria 5-0 pada perlawanan sulung Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, semalam.
 
Pesta jaringan 'The Cops' bermula seawal minit ke-14 lagi melalui pemain import, Mohamadou Suareh sebelum penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Khairul Izuan Abdullah menambah gol kedua, lima minit kemudian.

Sebaik bermula babak kedua, Khairul Amar Kasim mengukuhkan kedudukan PDRM dengan gol ketiga pada minit ke-46 dan bekas pemain import USM FC, Kaye Edrisar menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-52.
 
Wan Zaman Wan Abdullah melengkapkan hari yang penuh sempurna buat skuad bimbingan R. Nalathamby pada minit ke-57 dengan gol kelima bagi memastikan PDRM bergelar pendahulu Liga Perdana.
 
Di Stadium Utama, harapan Perlis bermula dengan langkah kemenangan tidak kesampaian apabila dikecewakan oleh Sarawak 1-2.
Bekas pemain import Kelantan, Danny Antwi memberikan keceriaan kepada Singa Utara dengan gol pendahuluan pada minit ke-16 tetapi pantas disamakan oleh pemain import Sarawak, Ivan Babic tiga minit kemudian.
Pemain berpengalaman, Bobby Gonzales memastikan tiga mata penuh menjadi milik pelawat dengan gol kemenangan pada minit ke-25.
 
Satu lagi pasukan Borneo, Sabah juga bermula dengan penuh positif apabila meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas juara Liga FAM, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Putrajaya FC di Stadium Bola Sepak Kompleks Sukan Likas.
Shahrul Azhar Ture menjadi wira Sabahawks dengan dua jaringan pada minit ke-5 dan 71 yang diperoleh melalui sepakan penalti sementara gol tunggal SPA diraih hasil gol sendiri pertahanan import Sabah, Rhys David Weston pada minit ke-28.
 
Perlawanan tumpuan yang membabitkan Johor dan Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan pemain tuan rumah, Muriel Juan Orlando gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-40.
 
Sementara itu, Kedah tidak berdepan sebarang masalah menundukkan UiTM FC di Stadium Hang Tuah dengan dua jaringan pemain kebangsaan, Khyril Muhymeen pada minit ke-30 dan 33.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...