Thursday, January 31, 2013

Zayar Win tak bersalah!

Sumber: Harian Metro

Ipoh: Perak mendakwa pemain tengah, Kyaw Zayar Win yang dilayangkan kad merah ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium MP Selayang, Selasa lalu tidak bersalah.
Justeru pengurus pasukan Bos Gaurus, Datuk Azhar Ahmad meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya meneliti semula keputusan yang dibuat demi mengembalikan integriti sukan itu 
Zayar Win digantung dua perlawanan serta didenda RM1,500 kerana mengutip kad merah pada minit ke-89 perlawanan yang menyaksikan Perak tumpas 0-1 itu. 


Azhar berkata, beliau diarahkan kepimpinan negeri supaya membuat rayuan kepada FAM terhadap hukuman penggantungan itu.

“Secara peribadi saya rasa Zayar Win tidak melakukan sebarang kesalahan. Dia jatuh selepas ditampar pemain lawan dan bangun dalam keadaan terpinga-pinga sebelum mengemukakan pertanyaan kepada pengadil, Shamsuddin Ibrahim. Sebaliknya dia pula yang dilayangkan kad merah.

“PAFA bukan hendak mencari salah pengadil atau mengecam pegawai perlawanan. Sebaliknya kami mahu mencari keadilan serta melaporkan kepincangan itu kepada FAM seperti yang dimahukan badan induk bola sepak negara itu. 

“Saya yakin pegawai FAM yang berwibawa mampu membuat keputusan rasional. Jadi jika berlaku sebarang kesilapan saya berharap mereka akan mengubahnya demi memperbetulkan keadaan,” katanya. 

Selain kontroversi kad pemain tengah itu, Azhar berkata gol Juan Manual Arostegui pada minit ke-18 itu juga meragukan dan berharap jawatankuasa berkenaan akan membuat penilaian. 

“Biarlah mereka yang arif dan berwibawa membuat keputusan mengenai gol itu. Ada pelbagai andaian mengenainya setakat ini. 


“Jika ada kesilapan pengadil biarlah jawatankuasa itu membuat pembetulan. Dengan cara ini pengadil kita akan dapat diperbetulkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...