Tuesday, January 8, 2013

PBSNT tak lepas Affize

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) tidak mahu melepaskan Mohd Affize Faisal Mamat untuk beraksi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mahu menggunakan khidmat bekas pemain Harimau Muda A itu bagi kempen Liga Super musim ini.
 
Presiden, Datuk Che Mat Jusoh berkata, mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain berusia 23 tahun itu perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran selepas kontraknya bersama Harimau Muda A tamat.

“Kalau mengikut peraturan FAM, mana-mana pemain yang sudah tamat kontrak bersama pasukan Harimau Muda perlu kembali ke pasukan negeri asal. Jika pasukan negeri tidak mahu barulah pemain itu dilepaskan ke pasukan lain.

“Tapi dalam kes Affize, kami memerlukannya. Memang kami tidak mendaftarkan namanya dalam pasukan kerana dia tidak mahu mengadakan perbincangan dengan kami. Kami tidak boleh mendaftarkan namanya jika dia tidak menandatangani kontrak. Tapi hingga kini kami masih mengosongkan satu tempat untuknya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Dalam laporan semalam, Affize menyatakan keinginan untuk beraksi dengan ATM atas dasar mahu menimba pengalaman di luar dan berharap PBSNT dapat mengeluarkan sijil perpindahan dengan segera.

Jurulatih ATM, B Sathianathan berkata, pihaknya sudah mendaftarkan pemain tengah itu musim ini dan berharap keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status FAM Khamis ini memihak kepada mereka.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...