Friday, January 11, 2013

Semangat baru Ngap Sayot

Sumber: Metro Online
 
Kuching: Pembuka tirai saingan Liga M musim ini mencetus fenomena baru bagi Sarawak yang mencatat kemenangan sulung di gelanggang lawan sekali gus meningkatkan semangat mereka mengharungi aksi kedua menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
 
“Permulaan yang baik meskipun kami kehilangan Ramesh (Lai Ban Huat) yang dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua. Namun kami memiliki barisan pemain yang boleh mengisi posisi itu dan yakin terhadap perancangan jurulatih, Roberts Alberts.
 

“Apabila melihat keseluruhan perlawanan, saya optimis pemain mampu melaksanakan tanggungjawab di semua posisi. Justeru, saya harap rentak kemenangan diteruskan ketika berdepan UiTM,” kata pengurus pasukan, Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Sarawak bakal melayan kunjungan UiTM yang tewas 0-2 kepada Kedah di Stadium Negeri dalam misi mencatat kemenangan kedua berturut-turut.

Kemenangan ke atas Perlis di Kangar amat membanggakan dan mengulangi kejayaan ketika menundukkan Singa Utara di tempat sendiri, lima tahun lalu.

Untuk rekod, skuad Ngap Sayot masih ketinggalan kepada Perlis sepanjang 10 pertemuan apabila tewas lima kali serta dua kali seri sejak 2004.

Sarawak kini menghuni tangga keempat, bangkit daripada ketinggalan selepas tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi Antwi Dennis Agyare, Isnin lalu.

Bagaimanapun, penyerang import baru, Ivan Babic hanya membenarkan tuan rumah bergembira selama tiga minit, sebelum menyamakan kedudukan.
Penyerang kelahiran Sabah, Boby Gonzales muncul wira apabila meledak gol kemenangan Sarawak pada minit ke-23.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...