Thursday, January 10, 2013

Malang tak berbau

Sumber: Metro Online
 
Kuala Terengganu: Maafkan saya! Ungkapan itu tidak lekang dari bibir Nuraliff Zainal Abidin sebaik saja dia menanduk bola ke gol sendiri pada minit terakhir perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium TLDM, Lumut kelmarin.
Pemain pertahanan T-Team itu mengaku sanggup melakukan apa saja andai dapat mengundurkan masa bagi menghalang Seladang memenangi perlawanan itu.

Bekas pemain Sime Darby yang menyarung jersi T-Team musim ini sedar dia menjadi penyebab Titans pulang tangan kosong kerana jaringannya itu masuk mencecah jaring di minit ke-93, beberapa saat saja sebelum pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.
 

“Saya amat menyesal kerana cubaan saya mengeluarkan bola menuju gawang sendiri dan gol itu pasti menghantui saya selama-lamanya.

“Apa yang saya mampu lakukan sekarang, memohon maaf kepada rakan sepasukan, jurulatih, pengurusan pasukan dan semua peminat Titans dan saya harap mereka memaafkan saya atas kesilapan besar itu,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berniat mengecewakan penyokong T-Team dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan seperti itu pada perlawanan akan datang.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, namun saya harus terus tabah dan cekal menghadapi cabaran akan datang walaupun agak sukar buat masa ini untuk saya memaafkan diri sendiri.” Ketua jurulatih, Peter Butler juga sukar menerima kenyataan pasukan bimbingannya pulang tanpa sebarang mata ke Kuala Terengganu kerana memang mahukan T-Team bermula cemerlang dalam saingan liga musim ini.

“Susah untuk saya percaya Titans kalah kerana masa kecederaan tiga minit sudah hampir tamat dan fikiran saya juga memikirkan yang bukan-bukan apabila melihat tandukan Nuraliff ke gol sendiri.

“Memang Perak bermain lebih baik pada babak pertama namun kami menunjukkan peningkatan selepas rehat dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.” Butler yang juga pengurus pasukan berkata, malang memang tidak berbau namun semua pemain harus memastikan kesilapan yang merugikan pasukan dapat dielakkan.

“Kami kehilangan penjaga gol utama apabila Iqbal (Suhaimi) digantung lima perlawanan namun Amirul (Abu Seman) melaksanakan tugasnya dengan baik hinggalah detik malang sebelum tamat perlawanan.

“Kami juga masih tidak dapat menggunakan khidmat Marzuki (Yusof) dan penggantinya, G Mahathevan juga terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lutut namun Hassan (Basri) juga menggalas tugasan diberikan kepadanya dengan baik.

“Kini kami perlu melupakan detik hitam di Lumut dan memberi tumpuan penuh pada perlawanan kedua menentang Kelantan di gelanggang sendiri, Sabtu ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...