Friday, January 11, 2013

Fauzi tekad bantu Pahang robek gawang Felda

Sumber: Utusan Online
 
JERANTUT - Bintang baru skuad Tok Gajah, Mohd. Fauzi Roslan yang menjaringkan dua gol sewaktu menundukkan barisan bintang Johor Darul Takzim, Selasa lalu yakin Pahang mampu meraih tiga mata penuh apabila berdepan Felda United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
 
Menurutnya, kejayaan menewaskan skuad pilihan musim ini, Johor Darul Takzim dengan jaringan 3-2 di Stadium Darul Makmur, menjadi pemangkin kepada semua pemain Pahang untuk membenam Felda United.
 

"Kami akan ke Stadium MBPJ dengan semangat juang tinggi untuk merebut tiga mata daripada tuan rumah, jadi semua pemain harus bermain dengan semangat satu pasukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
 
Menurut pemain berusia 25 tahun itu, beliau akan menggunakan segala peluang yang ada sebaik mungkin untuk menjaringkan gol seperti mana yang dilakukan ketika menentang Johor Darul Takzim.
 
Ketika mengejutkan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim, Selasa lalu, Mohd. Fauzi menjaringkan dua gol iaitu pada minit ke-48 dan ke-72 manakala gol ketiga oleh R. Surendren minit ke-82.
 
Dua gol yang dijaringkan skuad Fandi Ahmad pula hasil tandukan Safiq Rahim pada minit ke-10 disusuli rembatan Norshahrul Idlan Talaha minit ke-25.
 
Persembahan cemerlang Mohd. Fauzi turut mendapat pujian jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang percaya pemain kelahiran Pekan itu bersama anak buahnya yang lain mampu pergi lebih jauh dalam saingan musim ini.
 
Tambah Mohd. Fauzi, semua pemain juga harus mengikut taktikal yang ditetapkan oleh Dollah agar segala perancangan dapat diterjemahkan sepanjang 90 minit di atas padang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...