Wednesday, January 23, 2013

Liga Super 2013 - Ulasan Perlawanan 22 Jan 2013 (Utusan Malaysia Online)

Pahang kukuh cengkaman
 
KUALA LUMPUR - Pahang memulihkan semula semangat dan kekecewaan selepas rekod tanpa kalahnya lebur, Sabtu lalu dengan membenam Terengganu 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam untuk terus menerajui carta persaingan bola sepak Liga Super 2013.
 
Dua gol Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-76 dan 90 selain satu daripada Mohd. Fauzi Roslan (77) memastikan Tok Gajah di depan dengan 12 mata sambil meninggalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melonjak ke tangga kedua dan Selangor di tempat ketiga yang diikat Perak 1-1.
 
Lebih 20,000 penyokong tuan rumah bersorak ceria apabila menyaksikan sepakan bebas Mohd. Hafiz Kamal menerjah gawang tanpa dapat diselamatkan penjaga gol Sang Penyu, Syed Adney Syed Hussein diikuti tandukan masuk Mohd. Fauzi dan tolakan mudah juga Mohd. Hafiz.

Sementara itu, jaringan penyerang import, Marlon Alex James dan Shukor Adan pada minit ke-14 dan 55 yang menumpaskan Felda United 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, paroi, pula membawa ATM merapati Pahang dengan kekurangan cuma dua mata.
 
Selepas mendahului menerusi rembatan Francis Forkey Doe minit ke-66 di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Selangor mensia-siakan kemenangan yang hampir digenggam dengan menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-81.
 
Negeri Sembilan pula menghampakan hajat juara Liga Super musim lalu, Kelantan dengan mengikatnya tanpa jaringan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, biarpun masih gagal memecahkan kebuntuan tanpa menang selepas perlawanan kelima ini.
 
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula, T-Team bangkit membuat kejutan apabila mampu menjinakkan Lions XII 1-0 hasil jaringan sepakan penalti Mohd. Badrul Hisham Morris pada minit ke-74.
 
Jurulatih tuan rumah, Peter James Butler berkata, pasukannya berhak menang pada perlawanan itu walaupun hasil sepakan penalti kerana menguasai perlawanan terutamanya pada babak kedua malah tanpa pemain import mereka, George Boateng yang tercedera.
 
Harimau Selatan garang
 
SHAH ALAM - Johor Darul Takzim FC mencipta kemenangan pertama di tempat lawan pada musim ini apabila mudah menjinakkan PKNS 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.
 
Penyerang kebangsaan, Safee Sali menamatkan kemarau jaringannya dalam saingan Liga Super 2013 apabila membuka tirai jaringan Johor pada minit ke-18 sebelum Ahmad Ezrie Shafizie dan Daniel Guiza memastikan tiga mata menjadi Harimau Selatan dengan jaringan pada minit ke-69 serta 87.
 
Pemain gantian, Mohd. Faiz Mohd Isa menjaringkan gol sagu hati buat tuan rumah pada masa kecederaan, namun ia sudah terlambat menghalang kemenangan kedua Johor pada musim ini.
 
Aksi yang dipertunjukkan oleh anak-anak buah Fandi Ahmad boleh dipuji dan keserasian pemain-pemain berstatus bintang dalam skuad pelawat ternyata semakin menjadi apabila banyak melancarkan serangan menarik ke kubu lawan.
Tuan rumah kembali diperkuatkan dengan kehadiran pemain import, Helmi Loussaief sementara Johor mempertaruhkan gandingan tiga serangkai, Safee, Guiza dan Norshahrul Idlan Talaha menerajui barisan serangan.
 
Pun begitu, PKNS terlebih dahulu mempamerkan aksi bertenaga di awal permainan dengan kawalan bahagian tengah menarik yang ditunjukkan oleh Mohd. Fazli Baharuddin dan Mohd. Nazrin Syamsul Bahari.
 
Namun, di hadapan 5,000 penonton setia Johor, suasana perlawanan berubah pada minit ke-18 apabila Safee Sali berjaya menanduk cantik hasil hantaran Guiza dari sebelah kiri bagi memastikan pasukan pelawat di hadapan.
 
Norshahrul boleh menambah jaringan kedua pada minit ke-35 selepas bijak memperdayakan tiga pertahanan PKNS tetapi rembatannya melepasi palang gol lawan.
 
Bermula babak kedua, Harimau Selatan semakin garang melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan. Ahmad Ezrie akhirnya menghadiahkan gol kedua Darul Takzim pada minit ke-61 apabila mudah melepaskan rembatan leret yang tidak mampu dijangkau Mohd. Remezey Che Ros.
 
Guiza melengkapkan kemenangan mutlak Johor apabila dia yang tidak dikawal mudah melunaskan peluang terhidang pada minit ke-87.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...