Sumber: Metro Online
“SETIAP trofi sama pentingnya dan kami mahu pastikan esok giliran kami pula menjulang piala,” kata pemain import Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bruno Sebastian Martelotto menjelang pertembungan dengan Kelantan pada Perlawanan Sumbangsih malam ini.
Pemain import skuad Gladiators dari Argentina itu mengaku tidak sabar untuk turun beraksi di Stadium Shah Alam bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah apatah lagi menentang pasukan juara tiga piala, Kelantan.
Baginya, perlawanan pembuka tirai menentang pasukan yang mengecewakan mereka di final Piala Malaysia tahun lalu penting buat mereka membuka langkah kempen Liga Super musim ini.
“Kami perlu menang bukan kerana untuk membalas dendam tapi bagi saya kerana ia sebuah piala.
“Apa saja piala dipertandingkan musim ini, kami perlu berusaha memenanginya, tidak kira Piala Sumbangsih, Liga Super atau Piala Malaysia.
“Kelantan pasukan yang hebat kerana menjadi juara tiga piala tahun lalu tapi kami mahu buktikan kami juga pasukan yang perlu dihormati,” kata pemain berusia 30 tahun itu.
Pemain tengah menyerang itu menjadi tonggak skuad kendalian B Sathianathan ketika mengungguli Liga Perdana tahun lalu bagi merebut slot ke Liga Super musim ini.
Namun ketiadaan penyerang Marlon Alex James bakal menyaksikannya memainkan peranan sebagai penyerang kedua bagi membantu bahagian depan yang diterajui kapten Hairuddin Omar.
No comments:
Post a Comment