Sumber: Utusan online
RANTAU PANJANG - Kekalahan kepada The Red Warriors dalam final Piala Malaysia musim lalu memberi motivasi kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi perlawanan Sumbangsih bagi membuka tirai Liga Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, ATM akan memberi tentangan sengit dalam perlawanan itu nanti dengan azam menebus dendam kekalahan sebelum ini.
"Piala Sumbangsih, kami juga begitu teruja dan kita akan memberi satu tentangan yang hebat. Ini adalah ulangan kepada final Piala Malaysia musim lalu dan satu dendam mesti dibayar," katanya ringkas ketika ditemui di sini semalam.
Sehubungan itu, Zulkifeli menyeru semua anggota ATM yang tidak bertugas pada Sabtu ini untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan dan membantu pasukan mereka memenangi perlawanan itu.
Jelas beliau, ramai penyokong setia Kelantan akan hadir, justeru kehadiran penyokong ATM sangat penting bagi memberi sokongan kepada pemain-pemain mereka.
"Pada perlawanan nanti, saya minta semua anggota tentera yang tidak bertugas pada waktu malam datang ke stadium di mana perlawanan berlangsung kerana saya dimaklumkan ramai orang Kelantan akan hadir," katanya.
Sementara itu, Zulkifeli agak berahsia ketika ditanya mengenai persiapan pasukannya menghadapi musim depan bagaimanapun katanya semua perkara ini akan dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Zulkifeli bagaimanapun menegaskan, dua pemain import pasukannya iaitu Marlon Alex James dan Bruno Sebastian Martelotto dikekalkan untuk musim depan.
"Mengenai pemain import, ATM masih kekalkan Marlon dan Bruno. Saya bersama menteri yang akan memperkenalkan pasukan, penaja dan jersi baru esok (hari ini)," katanya.
No comments:
Post a Comment