Thursday, January 24, 2013

NS kaji kedudukan import


Sumber: Utusan Online

SEREMBAN - Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan mengkaji semula kedudukan pemain import pada posisi serangan ekoran prestasi kurang memberangsangkan selepas lima perlawanan Liga Super.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, terdapat masalah yang dihadapi pada bahagian jentera serangan sehinggakan banyak peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan.

Justeru katanya, pihaknya sedang mengintai pemain import baru posisi penyerang untuk dibariskan dalam kesebelasan utama dalam tempoh masa terdekat.



“Secara keseluruhan saya melihat posisi yang sedia ada sudah cukup baik, cuma kita kurang berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain import dari Argentina Emanuel Matias De Porras setakat ini.

“Kita akan menilai semula pemain ini dan apabila tiba masanya nanti kita akan menggantikan dengan pemain import baru," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, semalam.

Mohamad yang juga Menteri Besar menjelaskan secara keseluruhannya skuad ketika ini masih lagi baru memandangkan kebanyakan pemain yang menjadi kesebelasan utama dalam skuad Rusa adalah muka baru yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam pasukan.

“Namun jangan ambil masa terlalu lama untuk serasi kerana musim ini cukup mencabar, cabaran kali ini semuanya hebat dan kita perlu segera bangkit," katanya.

Dalam pada itu Mohamad menjelaskan, tidak ada sebab untuk PBNS menggantikan Divaldo Elves kerana jurulatih berkenaan mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam membimbing pasukan Negeri Sembilan.

Katanya, apa yang sebenarnya berlaku kebanyakan tonggak utama dalam pasukan masih lagi dibelenggu kecederaan dan sudah pastinya muka baru dalam simpanan diberi tanggungjawab untuk bermain.

“Banyak pemain kita yang masih mengalami kecederaan namun kesebelasan utama dalam pasukan dapat mengikat kedudukan seri bersama Kelantan dalam perlawanan tempoh hari. Bagi saya ini sudah cukup bahawa pemain kita mampu bersaing dengan pasukan besar seperti Kelantan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...