KEHADIRAN dua penyerang import, Mohamed Borji dan Nikolche Klechkraroski nyata memberi kesan kepada pemain tempatan untuk bersaing mendapat tempat dalam kesebelasan utama Pahang.
Mohd Fauzi Roslan tidak terkecuali berusaha keras meyakinkan jurulatih, Dollah Salleh untuk posisi serangan dalam saingan Liga M musim ini.
Pemain berasal dari Pekan, Pahang itu mengaku kelibat Mohamed dan Klechkraroski menyekat peluangnya untuk menyertai kesebelasan utama.
“Bagaimanapun, saya akan berusaha keras kerana mahu meletakkan nama dalam senarai penjaring terbanyak musim ini,” kata pemain berusia 25 tahun itu.
Begitu juga Abdul Malik Mat Ariff yang berazam untuk beraksi di bahagian serangan setiap kali skuad itu beraksi.
“Terserah kepada jurulatih untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik,” kata pemain yang pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Pahang.
Pada kejohanan empat penjuru di Johor baru-baru ini, Mohamed dari Maghribi menjaringkan tiga gol manakala Fauzi dan Abdul Malik, masing-masing menyumbang satu gol.
Mohamed sememangnya layak menjadi tonggak utama serangan skuad Tok Gajah kerana pada perlawanan persahabatan di Hong Kong lalu, dia turut menjaringkan gol.
No comments:
Post a Comment