Sumber: Utusan online
KUALA LUMPUR - Mula menjadi sebutan selepas menonjol bersama Kelantan selaku pemain pinjaman pada saingan Piala Malaysia, Afiq Azmi akhirnya memilih menyarung jersi Selangor bagi saingan musim 2013 walaupun menerima banyak tawaran daripada pasukan lain.
Mudah dikenali di atas padang kerana fizikalnya yang tegap serta ketinggian 1.85 meter, satu aset yang jarang ada pemain tempatan, Afiq mengakui musim ini akan menjadi tahun paling mencabar kerana membawa cabaran pasukan Selangor, sebuah pasukan pilihan dalam saingan Liga Malaysia.
"Beraksi bersama pasukan Selangor adalah satu keputusan yang tepat kerana ia mampu melonjakkan karier saya kerana semua orang tahu pasukan ini adalah satu pasukan yang besar dalam saingan Liga Malaysia.
"Tambahan saya memang pernah memasang impian bermain dengan Selangor satu hari nanti, bagi saya ini satu peluang yang tidak akan disia-siakan sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional.
"Saya mahu merasai tekanan untuk bermain kerana ramai pemain berkualiti di sini seperti Ramzul (Zahini), Amri Yahyah dan Francis Forkey Doe dan sudah tentu persaingan merebut kesebelasan utama cukup sukar.
"Namun, saya anggap peluang bermain adalah sama rata kepada semua pemain dan bergantung kepada prestasi masing-masing jika mahu diletakkan dalam kesebelasan utama, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Berasal dari Kangar, Perlis, Afiq merupakan sebahagian pemain Piala Presiden Perlis sebelum memilih ke Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama bergelar pemain profesional selama dua musim.
Mempunyai kemampuan baik menjaringkan gol menerusi tandukan, kelebihan yang dimiliki Afiq itu pasti akan digunakan sepenuhnya oleh jurulatih Selangor, Irfan Bakti.
Berazam mahu menjaringkan lebih banyak berbanding musim lalu, dia berikrar untuk membantu Selangor menamatkan kemarau kejuaraan.
"Tahun lalu, saya menjaringkan enam gol ketika bersama Kuala Lumpur pada saingan Liga Super dan empat gol semasa dengan Kelantan, semuanya 20 gol.
"Kali ini, saya mahu melakukan lebih daripada itu dan diharapkan segala impian saya ini menjadi kenyataan di samping mahu mendapatkan kejuaraan bersama Selangor yang belum pernah menang apa-apa sepanjang dua tahun ini, " katanya, yang berjaya menjaringkan satu gol dalam salah satu perlawanan persahabatan Piala Gabenor Acheh 2012 ketika berdepan Semen Padang.
No comments:
Post a Comment