Thursday, January 10, 2013

LIGA SUPER 2013 - 9 JAN 2013 (Ulasan)

Sumber: Metro Online
 
LionsXII baham ATM
 
ATM FA 0 - 1 LIONS XII FC
 
Seremban: JUARA Piala Sumbangsih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal melebarkan kemenangan mereka selepas tewas kepada LionsXII 0-1 pada perlawanan pertama saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.
 
Kapten LionsXII, Shahril Ishak muncul wira pasukan pelawat apabila bijak memanfaatkan peluang hasil sepakan sudut pada minit ke-66.

ATM yang turun dengan semangat tinggi selepas menjuarai Perlawanan Sumbangsih melakukan asakan bertali arus ke kubu LionsXII sebaik wisel perlawanan dimulakan menerusi gandingan Hairuddin Omar dan Marlon Alex James, bagaimanapun pertahanan pelawat terutama penjaga golnya, Izwan Mahmud berjaya menafikan keghairahan tuan rumah mendapatkan gol.


Peluang ATM untuk berada di depan diperoleh pada minit ke-20 menerusi Marlon yang berjaya merembat deras tapi ditepis Izwan manakala cubaan pemain sama pada minit ke-23 sedikit tersasar.

Begitupun pelawat yang berazam mencari mata pertama pada saingan pembuka tirai saingan Liga Super musim ini memberi tentangan sengit menerusi Shahril dan Irwan Shah yang menerajui barisan depan, namun beberapa peluang diperoleh tidak menjadi apabila penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun cemerlang menyelamatkan gawangnya.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagaimanapun usaha mendapatkan jaringan tidak kesampaian hingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, anak buah B Sathianathan menggandakan asakan ke kubu lawan dan peluang mereka menembusi benteng pelawat itu diperoleh pada minit ke-49 tapi tendangan bebas Irwan Fadly Idrus dari jarak kira-kira 25 meter terus ke dakapan Izwan.

Marlon sekali lagi gagal memanfaatkan peluang jaringan pada minit ke-52 apabila tidak dapat menolak masuk bola hantaran lintang Bruno Martelotto sekalipun sudah berada hampir ke garisan gol manakala pada minit ke-58, Venice Elphi pula mensesiakan peluang apabila gagal menolak hantaran lintang James, walaupun Izwan sudah tersilap langkah.

Ketika ATM ghairah memburu gol, kapten LionsXII, Shahril meletakkan pasukan itu di depan selepas menanduk kemas bola sepakan sudut Nazrul Nazari untuk gol pertama pelawat.

Jaringan itu menyebabkan ATM tertekan dan Sathianathan bertindak mengeluarkan Marlon pada minit ke-77 dan memasukkan R Surendran, namun usaha mereka untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila keputusan 0-1 kekal hingga hujung perlawanan.
 
 
Jaringan Zairul legakan peminat
 
KELANTAN FA 2 - 1 SELANGOR PKNS FC
 
Kota Bharu: Jaringan pemain pertahan, Mohd Zairul Fitree Ishak pada minit akhir perlawanan melegakan puluhan ribu penyokong Kelantan yang sanggup berhujan selepas gergasi Pantai Timur itu mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
 
Mohd Zairul menjadi 'wira' Kelantan apabila menjaringkan gol pada minit ke-92 hasil sepakan percuma, dirembat dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol PKNS FC, Mohd Remezey.

Pada separuh masa pertama, Kelantan bermula garang, namun dikejutkan dengan jaringan pembukaan pasukan pelawat menerusi sepakan percuma selepas penyerang import PKNS FC, Patrick Ronaldinho dikasari. Mohd Helmi Remeli bijak menyempurnakan sepakan percuma ke penjuru kanan gol bagi menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-13.

Tersentak dengan keadaan itu, Kelantan menggandakan serangan dan hanya dalam tempoh lima minit, kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi meledak gol penyamaan selepas memanfaatkan suasana kelam kabut di kotak penalti PKNS FC dengan merembat kencang bagi menewaskan Remezey.

Kelantan yang menurunkan penyerang importnya, Keita Mandjou terus mengasak namun gagal menambah jaringan sehingga tamat separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, rentak perlawanan bertukar pantas selepas hujan berhenti dan memberi peluang kepada kedua-dua pasukan mengatur gerakan. Kelantan melancarkan serangan bertali arus ke gawang PKNS FC, namun setiap gerakan berjaya dipatahkan sehingga anak buah Bojan Hodak semakin buntu mencari jaringan kemenangan. Peluang terbaik hadir untuk Kelantan mencipta jaringan kemenangan, namun tendangan lemah Mandjou pada minit ke-87 ditangkap kemas penjaga gol. Bagaimanapun, debaran berakhir apabila Mohd Zairul memastikan juara tiga piala itu bermula cemerlang musim ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...