Friday, January 4, 2013

Isu Mat Yo: Tunku Ismail mahu Annuar henti drama

Sumber: Sinar Harian Online
 
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
 
JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menghentikan drama dan politik melibatkan Norshahrul Idlan Talaha yang turut dikenali sebagai Mat Yo.
 
Justeru, baginda mahu Annuar lebih bersikap matang dan profesional dalam mengendalikn pasukan bola sepak.
 
Tunku Ismail memberi jaminan Mat Yo akan membayar harga tebus kontrak seperti diminta Kafa.

"Jangan panjang-panjangkan cerita. Dia (Mat Yo) akan bayar (harga tebus kontrak) pada hari ini. Anda (Annuar) perlu matang. Dalam sukan bola sepak, mesti ada pemain yang datang dan pergi. Anda perlu terima dan bersikap profesional.
 
"Sebagai contoh, jika satu hari nanti Safee Sali mahu keluar dari pasukan, saya akan terima. Beliau (Annuar) sepatutnya berterima kasih kepada Mat Yo atas sumbangan diberikan dan bukannya bercakap benda kurang menyenangkan terhadap pemain ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
 
Semalam, Annuar antara lain berkata, bekas penyerang Kelantan itu belum membayar harga tebus kontrak seperti yang diminta oleh Kafa walaupun telah menandatangani kontrak baharu bersama pasukan Johor Darul Takzim.
 
Annuar berkata, mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mat Yo sepatutnya membayar harga tebus kontrak tersebut dalam tempoh 30 hari selepas didaftarkan dengan pasukan baharu.
 
"Kita tak bantah keputusan beliau untuk menamatkan kontrak secara sebelah pihak, tapi sampai hari ini Mat Yo belum membayar harga tebus kontrak tersebut sehingga Kafa terpaksa membuat tuntutan kepada Jawatankuasa Status FAM.
 
"Dalam kes ini kita telah mengemukakan afidavit kepada jawatankuasa berkenaan dan berharap agar mereka dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin," katanya.
 
Annuar, yang tidak mendedahkan nilai harga tebus kontrak itu, berkata penyerang yang pernah mencipta nama sebagai salah seorang tonggak utama pasukan kebangsaan itu juga masih mempunyai baki kontrak bernilai RM400,000 bersama Kafa.
 
Polemik perpindahan Mat Yo menjadi isu hangat diperkatakan dalam kancah sukan bola sepak negara selepas menamatkan kontrak secara sebelah pihak walaupun masih berbaki 13 bulan bersama Kafa selepas dilamar pasukan dari selatan, Johor Darul Takzim pada musim lepas.
 
Mengulas mengenai jumlah baki kontrak bernilai RM400,000 bersama Kafa seperti yang dinyatakan Annuar, Tunku Ismail berkata, Mat Yo akan menjelaskan bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 seperti ditetapkan oleh FAM.
 
"FAM sudah menetapkan bahawa beliau (Mat Yo) perlu membayar sebanyak RM250,000. Jadi Mat Yo menerusi peguam yang dilantik akan berbuat sedemikian seperti diarahkan FAM. Janganlah ambil kesempatan.
 
"PBNJ sendiri sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan FAM malah begitu juga pemain kami. Janganlah bersikap kebudak-budakan dan cakap belakang-belakang," katanya.
 
Justeru, Tunku Mahkota Johor mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk Annuar untuk berdepan dengan beliau sekiranya mahu menuntut sebarang penjelasan mengenai pelbagai perkara.
 
"Rumah saya sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja datang jika ada sebarang masalah. Bersikap profesional dalam sukan dan janganlah membangkitkan isu bukan-bukan.
 
"Hentikanlah drama dan politik anda. Jangan jadikan sukan bola sepak seperti berkempen dalam politik. Jika tidak suka, datang jumpa dan cakap depan-depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...