SIAPA sahaja mampu untuk muncul juara Liga Perdana 2013, walaupun beberapa pasukan berpengalaman seperti Kedah, Sabah, Sarawak dan Johor dijangka menguasai saingan liga.
Namun, tumpuan juga harus diberikan kepada Sime Darby FC, Kuala Lumpur dan Putrajaya SPA.
Bagaimanapun, jika dilihat atas kertas sekarang ini, Kedah dijangka mempunyai kelebihan berdasarkan barisan pemain yang sedia ada, malah kehadiran pemain import berpengalaman dari Chile, Nelson Sam Martin mampu melonjak skuad Kenari kembali ke Liga Super.
Dua pasukan Malaysia dari Borneo, Sabah dan Sarawak dijangka memberi tentangan habis-habisan kepada Kedah selepas ketiga-tiga mereka tersingkir dari Liga Super musim lalu.
Johor pula yang dibimbing oleh Azmi Mohamed mencuri tumpuan dalam saingan empat penjuru baru-baru ini apabila muncul juara selepas memalukan Johor Darul Takzim dalam saingan akhir.
Turut beraksi dalam kejohanan itu Pahang dan Woodlands Wellington dari Singapura.
Keempat-empat pasukan negeri ini bakal dicabar oleh beberapa pasukan lain terutamanya Sime Darby FC yang mengejutkan bola sepak tempatan musim lalu apabila mara ke saingan akhir Piala FA sebelum tewas kepada Kelantan.
Kuala Lumpur juga mampu memberi cabaran dengan kehadiran jurulatih import, Stanislav Lievkosky dari Slovakia.
Mereka juga diperkuatkan dengan dua lagi pemain import dari negara tersebut, Vladislav Palsa dan Juraj Kuhajdik.
Juara Liga FAM Putrajaya SPA tidak harus diketepikan begitu sengaja, sebagai pasukan bukan pilihan dan tidak diberi perhatian, pasukan kelab ini mampu membuat kejutan hasil percaturan bekas pemain kebangsaan, Nizam Jamil.
Pasukan lain seperti NS Betaria, Perlis, PDRM, Pos Malaysia dan UiTM FC bukannya tidak kuat untuk mencabar dalam saingan ini tetapi mereka harus melakukan sesuatu agar lebih baik dari perlawanan pra-musim sebelum ini.
No comments:
Post a Comment