Monday, January 14, 2013

Strategi Fandi tak turunkan Safee


Sumber: Metro Online

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad mempunyai alasan tersendiri kenapa kelibat penyerang sensasi, Safee Sali masih berada di bangku simpanan ketika menentang Pahang dan Perak dan tidak disenarai dalam kesebelasan utama.

Beliau menegaskan, pemain pinjaman dari Arema FC itu masih belum cergas sepenuhnya dan perlu masa untuk mendapat tahap kecergasan memuaskan dan tidak mahu terburu-buru menurunkan pemain itu yang sudah lima bulan tidak beraksi pada saingan Liga Indonesia sekali gus menjejas momentum permainannya.




“Beri Safee masa. Dia harus diberi ruang untuk meningkatkan prestasi kerana kita mahu Safee yang dahulu dan bukannya kita bersikap ‘tamak’ untuk pastikan dia beraksi malah ia pasti menjejaskan prestasinya yang sudah lima bulan tidak beraksi dalam Liga Indonesia.

“Apapun saya sudah ada perancangan dan tunggu saja kemungkinan dia akan turun berdepan Kelantan di Kota Bharu, malam esok kerana misi utama adalah mencari kemenangan.


“Semua pemain bebas kecederaan dan saya akan cuba turunkan pemain terbaik dah bukannya pemain ‘bintang’,” katanya.


Skuad bergelar Harimau Selatan itu menghadapi tugas getir di Stadium Sultan Muhammad IV kerana juara tiga piala itu pasti mahu menebus kehampaan selepas diaibkan T-Team 0-1, kelmarin.

Sememangnya ia pertembungan yang dinanti-nantikan bukan saja peminat di Johor dan Kelantan malah turut menarik perhatian ramai selepas tercetusnya kontroversi isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha ke Johor Darul Takzim yang membabitkan tuntutan tebus kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).


Apapun, sebagai pemain dan pengurusan profesional, kedua-dua pihak sama ada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan KAFA harus mengetepikan isu itu sebaliknya memastikan kerancakan perlawanan itu bakal berlangsung tanpa insiden buruk yang boleh mencemar imej bola sepak negara.

“Selepas kecewa dengan persembahan kurang konsisten walaupun menang 1-0 ke atas Perak, saya tuntut pemain kembali dengan corak permainan lebih mantap dan kita mahu tiga mata dibawa pulang biarpun sedar kepayahan yang bakal ditempuh tetapi jika disiplin dalam permainan tinggi sudah pasti ia berhasil,” kata Fandi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...