Monday, January 21, 2013

Shabery minta KAFA, PBNJ segera tamatkan kontroversi

Sumber: Utusan
 
KUALA LUMPUR - Jangan biarkan kontroversi menjadi keterlaluan, ia boleh menghilangkan keyakinan peminat terhadap bola sepak kita.
 
Itu teguran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek terhadap kontroversi di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT) yang semakin berlarutan.
 
Ahmad Shabery, yang tidak memihak kepada sesiapa berkata, Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu melihat masalah tersebut dengan serius.


"Dari satu segi, kontroversi memang baik kepada sukan, namun kontroversi yang keterlaluan akan menyebabkan orang mula hilang keyakinan kepada sukan itu sendiri," katanya kepada media selepas melepaskan Kayuhan OCBC 2013 semalam.
 
Perang mulut di antara pemimpin KAFA dan PBNJ mencapai kemuncak ketika pertembungan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super Selasa lalu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di mana kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 1-1.
 
Apa yang mencetuskan kontroversi ialah pengurusan Johor DT mendakwa KAFA tidak menitikberatkan soal kawalan keselamatan menyebabkan beberapa insiden melontar objek kepada penyokong mereka.
 
Namun KAFA pula mendakwa Johor DT agak keterlaluan dalam aspek menjaga pasukan mereka sehingga membawa Anggota Rejimen Ke-21 Gerak Khas Komando (GGK) yang dilengkapi dengan senjata.
 
Sebelum itu, isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha ke Johor Darul Takzim mencetuskan perang mulut sesama persatuan.
 
"Saya melihat perkara ini dengan serius. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku lagi dan FAM perlu bertindak tegas seperti Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
 
"Melindungi pemain dan penonton adalah tindakan yang perlu diambil oleh pasukan tuan rumah, pasukan pelawat pula tidak semestinya menyediakan kawalan terhadap pasukan dengan membawa komando," katanya.
 
Ahmad Shabery berkata, melakukan kawalan dengan membawa askar peribadi memberi gambaran seolah-olah bahawa negara kita tidak selamat.
 
"Perkara yang luar dari kebiasaan sepatutnya perlu segera diperbaiki menjelang perlawanan akan datang. Jika perkara ini terus berlaku ia akan menjadi sesuatu yang memalukan negara," kata Shabery.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...