Saturday, January 5, 2013

Selangor mahu tarik penyokong ke stadium


Sumber: Utusan Online

SHAH ALAM - Bukan sekadar mahu menamatkan kemarau trofi sejak dua musim lalu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) turut menuntut pasukan Liga Super mereka mempamerkan corak permainan menghiburkan musim ini untuk menarik kembali sokongan peminat membanjiri Stadium Shah Alam.

Presiden FAS, Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan, corak permainan yang menerapkan serangan pantas adalah satu-satunya cara meraih semula kepercayaan para peminat setia Gergasi Merah Kuning yang semakin meminggirkan perlawanan di laman sendiri.


"Agak mengecewakan musim lalu berakhir tanpa sebarang piala, tetapi kami masih mampu menduduki tempat ketiga Liga Super dan layak sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia.

"Untuk menyakinkan semula peminat Selangor, maka pasukan ini haruslah menyerlahkan teknik, strategi dan kepantasan menyerang dalam corak permainan mereka pada setiap perlawanan musim ini.

"Kami menaruh harapan tinggi untuk Selangor memenangi perlawanan pembukaan menentang Negeri Sembilan di Shah Alam minggu depan, sekali gus menarik minat orang ramai berkunjung ke stadium," katanya pada majlis pelancaran jersi baharu Selangor dan pengenalan skuad bagi musim 2013 di sini semalam.

Dalam menyahut cabaran kepimpinan FAS itu, pengendali Red Giants, Irfan Bakti Abu Salim telah membuat rombakan besar-besaran melibatkan kesemua bahagian yang menyaksikan 11 muka baharu dibawa masuk, dengan dua nama terbesar termasuk bek kanan kebangsaan, Mahalli Jasuli dan Penjaring Terbanyak bersama Liga Super 2012, Francis Forkey Doe.

Bahagian sayap juga ditajamkan dengan kehadiran pemain lincah Negeri Sembilan, S.Kunanlan manakala jentera tengah juga tidak kurang kreatifnya dengan ketibaan Abdul Shukor Jusoh.

Oleh itu, Irfan menegaskan, ketiadaan tonggak perancang utama dan kapten, Safiq Rahim yang berhijrah ke Darul Takzim FC tidak akan dirasai.

"Tiada Safiq, tiada masalah... saya memiliki banyak opsyen di bahagian tengah dengan kehadiran Shukor dan S.Veenod (dari USM FC) dan dengan Gurusamy semakin pulih daripada kecederaan panjang, kami akan dapat tangani kekosongan Safiq.

"Persiapan menjelang musim baharu memberangsangkan dan saya boleh lihat semua pemain begitu komited sekali.

"Kami bertekad untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini," jelas Irfan, yang diberi kepercayaan untuk terus membimbing Selangor buat tahun kedua.

Mengenai saingan Piala AFC, Irfan memberitahu bahawa pasukannya mensasarkan melepasi suku akhir pertandingan peringkat benua itu.

Dua pemain import tambahan, bekas pemain tengah Perak yang menjaringkan 13 gol dalam Liga Super musim lalu, Michal Kubala dan rakan senegara Slovakia, Peter Chrappan telah dibawa masuk untuk memperkuatkan skuad menghadapi Piala AFC.

Selangor diundi dalam Kumpulan H bersama King Fisher East Bengal dari India, Tampines Rovers (Singapura) dan Saigon Xuan Thanh (Vietnam).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...