Friday, January 11, 2013

Tebus kontrak cuma RM299,000

Sumber: Utusan online
 
PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak berhak menuntut sebarang yuran perpindahan Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo daripada Johor Darul Takzim memandangkan penyerang negara itu sudah menjelaskan baki gaji 13 bulan untuk menebus kontrak.
 
Jumlah RM299,000 yang dibayar dua kali ansuran pada 4 dan 5 Januari lalu sudah cukup untuk menyelesaikan kes pertikaian mereka.
 

Apatah lagi KAFA turut bersetuju dengan bayaran penebusan itu dan kontrak mereka ditamatkan oleh sebelah pihak, menurut Perkara 8.5 Peraturan Kontrak Pemain Tempatan Liga Malaysia 2013-16.
 
Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain (PSC) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan selepas mesyuarat yang memutuskan kes Mat Yo di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, berkata, KAFA masih boleh mengemukakan rayuan sekiranya mahu, tetapi Jawatankuasa Rayuan persatuan akan menilai semula kewajarannya atau tidak.
 
“Bagi pihak jawatankuasa kami, kes ini sudah dianggap selesai. Kes ini juga sudah jelas dan kami tidak dapat membenarkan atau mengiktiraf tuntutan selain itu seperti elaun dan kemudahan lain (buat Mat Yo) yang tidak dikemukakan dalam aduan KAFA sebelum ini," katanya.
 
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini ‘berperang mulut’ dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan mempertikaikan bahawa Mat Yo perlu membayar RM318,500 yang melibatkan jumlah gaji dan elaun rumah sepanjang baki kontrak 13 bulan.
Kata Takiyuddin, Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Negara 2012 itu membayar wang penebusan kontraknya dua kali menerusi draf bank sebanyak RM250,000 dan RM49,000 masing-masing pada 4 dan 5 Januari lalu yang didapati menepati Perkara 8.5, iaitu ‘apabila pemain menamatkan kontrak sebelah pihak, ahli gabungan FAM berkenaan, berhak mendapat ganti rugi kesemua baki kontraknya.’
 
Dalam kes lain, jawatankuasa itu juga menolak aduan KAFA mengenai S. Chanturu, yang didakwa melanggar kontrak mereka atas alasan notis tawaran baru kontrak yang diterima bekas pemainnya itu tidak sah, tidak lengkap atau wujud kecacatan berdasarkan Perkara 10 (2) Peraturan Liga Malaysia.
 
Mengenai Mohd. Affize Faisal Mamat, jawatankuasa membenarkan bekas pemain Harimau Muda A itu bermain untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Namun pasukan barunya diarahkan membayar sagu hati RM5,000 kepada Terengganu dalam tempoh 30 hari sebagai menghormati negeri asal yang mendidik pemain itu sebelum diambil FAM.
 
“Pemain itu sudah berusia 24 tahun yang melebihi 21 tahun dan bagi pilihan pertama, dia hanya dihantar balik ke negeri asal tetapi tidak terikat untuk bermain di situ. Jika dia tidak bersetuju dan tidak berhasrat mewakili Terengganu tetapi memilih pasukan lain yang menawarkan khidmatnya, ATM boleh mengambilnya," katanya.
 
“Bagi kes seorang lagi pemain Harimau Muda A, Mohd. Akram Mahinan, 21 yang menyertai Johor Darul Takzim, pasukan barunya diarahkan membayar RM15,000 sebagai pampasan kepada Kedah yang memberikan latihan dan pendidikan sebelum FAM, dalam tempoh 30 hari walaupun dia tidak terikat bermain di negeri asalnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...