Pemain Perlis, Dennis Antwi (kiri) bersaing dengan pemain Kuala Lumpur, Mohd. Fadhlullah Yunfisar dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Utama, Kangar, semalam. Kuala Lumpur menang 1-0. - UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli |
KUALA LUMPUR - Pos Malaysia menjadi pasukan pertama berjaya menghalang pendahulu Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada meraih kemenangan apabila seri 1-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka, petang semalam.
PDRM terlebih dahulu mendahului dengan jaringan yang dicipta Mohamad Khairol Abedol Latif pada minit ke-45 tetapi Ahmad Saufi Ibrahim memastikan Pos Malaysia mampu mencuri satu mata berharga di tempat lawan dengan gol penyamaan pada minit ke-60.
Namun, keputusan seri itu tidak menghalang PDRM untuk terus memimpin kedudukan liga dengan kelebihan satu mata ke atas Kedah yang mencipta kemenangan keempat apabila menang 2-0 di Stadium Likas ke atas Sabah hasil jaringan pemain kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen Zambree pada minit ke-40 dan Muhamad Fiqkry Md. Isa, minit ke-80.
Di Stadium Utama, Kangar, Syafiq Johari memastikan Perlis terus kempunan mencari kemenangan pertama musim ini apabila membantu Kuala Lumpur meraih tiga mata dengan kemenangan 1-0.
Gol tunggal itu hadir pada minit ke-45 hasil sepakan percuma sebelum babak pertama berakhir, namun skuad warga kota itu terpaksa mengakhiri permainan dengan kekurangan seorang pemain apabila Syazwan Rani mengutip kad kuning kedua pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Sementara itu, NS Betaria meraih kemenangan pertama pada musim ini apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang 3-2 mengatasi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Putrajaya 3-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Mohd. Farizal Rozali dan Mohd. Hanifuddin Abdul Rahman meletakkan SPA di hadapan dengan dua jaringan pada minit ke-42 serta 47, namun Tomas Chovanec merapatkan jurang pada minit ke-62 sebelum Mohamad Afendi Mohd. Ishak menjadi wira Betaria dengan gol penyamaan pada minit ke-65 dan seterusnya gol kemenangan pada minit terakhir permainan.
Di Stadium Selayang, Sime Darby dan Sarawak sama-sama kebuntuan apabila sekadar seri tanpa jaringan sementara Johor menewaskan pasukan di tangga tercorot, UiTM FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
No comments:
Post a Comment