Friday, January 4, 2013

Mana wang pampasan?

Sumber: Metro Online
 
KETIKA kehangatan musim baru makin dirasai, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih belum menerima bayaran pampasan perpindahan ‘Pemain Paling Bernilai’, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang berhijrah ke Johor Darul Takzim.
 
Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa, melahirkan rasa tidak puas hati berhubung isu itu dan mahu ia segera diselesaikan.

Menurutnya, meskipun Kafa tidak menyekat perpindahan pemain kebangsaan itu, namun hingga hari ini tiada bayaran pampasan dibuat dan beliau turut terkilan kerana saingan Liga M bakal bermula tidak lama lagi.

Katanya, walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh membenarkan pemain beraksi sebelum melunaskan pampasan, Kafa tidak memandang remeh isu bayaran pampasan perpindahan.

“Hingga hari ini kami belum puas hati dengan isu Mat Yo kerana dia masih tidak membayar pampasan perpindahannya.

“Tebus kontrak tidak boleh ditebus melalui mulut atau surat, namun ia perlu disertakan dengan bayaran (wang). Kami harap FAM tidak melonggarkan peraturan mengenai isu perpindahan pemain kerana ia boleh menjejaskan sistem perpindahan pada masa akan datang,” katanya.

Annuar berkata, kontrak Mat Yo masih berbaki 13 bulan dengan nilai kira-kira RM400,000.

Katanya, walaupun jumlah pampasan hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Rayuan FAM, bayaran sepatutnya dibuat 30 hari selepas tarikh pendaftaran bersama pasukan baru.
“Sepatutnya kita tidak perlu membuat tuntutan kerana sedia maklum pemain perlu membayar pampasan apabila berpindah ketika masih mempunyai kontrak. Bagaimanapun Kafa sudah membuat tuntutan tetapi tidak menerimanya hingga kini.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...