Ahmad Fakri Saarani (tiga dari kiri) bersama pegawai-pegawai Atletico SC di Reguengos Monsaraz, Portugal, semalam. |
KUALA LUMPUR - Tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pun tidak mengapa asalkan, Ahmad Fakri Saarani diberi kepercayaan untuk beraksi lima atau 10 minit dalam penampilan pertamanya bersama kelab Portugal, Ahad depan.
Itulah harapan pengurus peribadinya, Faisal Zakariah menjelang aksi sulung pemain kebangsaan itu bersama Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC), Ahad depan menentang pasukan U. Montemor di Stadium de Maio.
Lebih menarik U. Montemor merupakan pendahulu Liga Divisyen Tiga Siri F dan Fakri sudah tentu akan mendapat pengalaman berharga jika diturunkan menentang antara pasukan terkuat dalam liga tersebut.
"Setakat ini dia berada dalam senarai pasukan yang akan beraksi dalam perlawanan tersebut tetapi peluangnya untuk bermain dalam kesebelasan utama agak sukar, namun ketua jurulatih, Eduardo Almeida dan penolong, Paulo Simao dan Pedro Canelas sedar akan kemampuannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Fakri yang mengikat kontrak selama enam bulan bersama kelab yang berpangkalan di Reguengos Monsaraz, perlu bersaing dengan lima lagi penyerang lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama termasuk penyerang import kelab tersebut, Jony (Sao Tome and Principe).
"Dia mempunyai keyakinan, malah pasukan yang diwakilinya juga mempunyai peluang cerah untuk melonjak ke Divisyen Dua musim depan dan itulah tujuan sebenar mengapa mereka mengambil Fakri.
"Fakri akan bermain sebagai pembantu penyerang dan dia satu-satunya pemain dari Asia yang beraksi bersama kelab tersebut yang lain kebanyakannya dari benua Afrika seperti, Guine-Bissau, Tanzania, Senegal dan Sao Tome and Principe," katanya.
Menurut Faisal, kualiti permainan liga tersebut sama dengan Liga Super di Malaysia dan corak permainan di sana sangat pantas serta keras di mana kelebihan fizikal bakal menjadi kelebihan kepada seseorang pemain.
"Biasanya kita akan lihat Fakri di sini adalah salah seorang pemain yang besar tetapi di sana dia adalah salah seorang pemain yang kecil, namun saya yakin dengan kemampuannya kerana kita tahu corak permainannya ketika di sini sangat keras.
"Setakat ini tidak ada masalah buatnya dari segi kecergasan dan kecederaan, dia berada dalam keadaan 100 peratus terbaik, masalah utamanya di sini adalah bahasa dan kesejukan, namun inilah pengalaman beraksi di Eropah," katanya.
Berdasarkan kedudukan Liga Divisyen Tiga Siri F, Atletico S.C sekarang ini menghuni tangga keempat selepas mengharungi 12 perlawanan.
No comments:
Post a Comment