PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui gementar dan memerlukan latihan rapi untuk beraksi pada final Piala FA 19 Mei ini walaupun mempamer aksi cemerlang membantu Red Warriors mengikat Kedah 2-2 di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam kelmarin.
Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggilan Apek memuji rakan sepasukannya yang tidak menyerah kalah biarpun ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama sebelum berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 sehingga tamat perlawanan bagi melayakkan Red Warriors mara ke final Piala FA buat kali kedua.
Pemain berusia 23 tahun dari Kampung Cherang, Kota Bharu itu mengakui, biarpun sudah berpengalaman beraksi di pentas final Piala FA menentang Terengganu tahun lalu, namun perasaan gementar tetap menyelubungi dirinya untuk beraksi sekali lagi pada final tahun ini.
Katanya, aksi final Piala FA musim ini pasti berbeza apabila berdepan pencabar baru pasukan kelab, Sime Darby.
"Saya mengakui memerlukan lebih banyak pengalaman, malah perasaan gementar tidak dapat dielakkan ketika beraksi dalam perlawanan penting apatah lagi dalam perlawanan akhir Piala FA nanti.
"Tahun ini Kelantan berdepan lawan baru dalam final Piala FA dan sukar untuk membuat ramalan awal, malah ia juga membuatkan saya bimbang selain memerlukan persediaan rapi sebelum tiba hari perlawanan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, dia berazam untuk dipilih dalam kesebelasan utama ketika perlawanan akhir Piala FA kerana kedudukannya kini mendapat saingan dengan penjaga gol kedua, Mohd Shahrizan Ismail turut mempamer aksi cemerlang musim ini. Katanya, selain berhati-hati dengan rentak permainan kesebelasan pemain Sime Darby, dia tekad untuk membaiki prestasi dan membentuk keyakinan diri sementara masih mempunyai waktu sebelum tiba hari perlawanan.
"Untuk pertemuan dengan pencabar baru seperti Sime Darby ini, kami tidak boleh memandang mudah dan tidak boleh terlalu yakin kerana sepanjang saingan Piala FA mereka (Sime Darby) bermain penuh semangat dan kami perlu berhati-hati.
"Saya mengakui pernah membuat beberapa kesilapan ketika beraksi namun saya akan membaiki kelemahan dalam masa terdekat dan akan fokus dalam perlawanan akhir nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment