Wednesday, May 2, 2012

Kejutan Sime Darby ke pentas akhir



PEMAIN Kedah, Vedran Gerc (kiri) melepasi pertahanan Kelantan pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam. - UTUSAN/Halim Khalid
KUALA LUMPUR - Sime Darby mencipta sejarah muncul pasukan berstatus kelab pertama mara ke perlawanan akhir Piala FA apabila menyingkir juara bertahan, Terengganu secara agregat 2-1 setelah seri tanpa jaringan pada separuh akhir kedua, semalam.

Lawan Sime Darby pada final 19 Mei ini ialah Kelantan, yang layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah terikat 2-2 dengan Kedah di Alor Setar.


Di Stadium MP Selayang, walaupun berdepan asakan sepanjang 90 minit perlawanan oleh skuad Mat Zan Mat Aris, pertahanan Sime Darby menghampakan kesungguhan Terengganu walaupun turun tanpa dua pemain utama, Patrick Ronaldinho dan Mohd. Irme Mat.

Di Stadium Darul Aman, impian Kedah untuk beraksi pada final Piala FA buat kali kelima tidak kesampaian apabila diikat 2-2 oleh Kelantan untuk kedudukan 3-3 secara agregat.

Ini bermakna skuad Bojan Hodak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah seri 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu.
Kelebihan dua jaringan pada babak pertama menerusi jaringan penyerang licik, Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri yang mampu memberi kelebihan kepada Kedah gagal dipertahankan sehingga wisel penamat.

Sebaliknya Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain pertahanan, Obinna Nwaneri dan penyerang, Mohamed Ghaddar.

Kedua-dua pasukan yang mahu mencari jaringan awal sebagai gol semangat saling mengasak sebaik wisel dibunyikan pengadil M. Yusof Mat Karim.

Pasukan tuan rumah berpeluang mendahului menerusi Gerc pada minit ke-29, namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.

Usaha skuad Kenari akhirnya berhasil menerusi sepakan percuma ketua pasukan Baddrol Bakhtir yang dikuis cantik Mohd. Khyril Muhymeen pada minit ke-31 dan satu gol oleh Mohd. Khyril pada minit ke-42.

Kelantan memulakan babak kedua dengan langkah kanan apabila merapatkan kedudukan menerusi pemain import, Obinna Nwaneri yang menanduk masuk bola sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-47.

Mohd. Khyril Muhymeen yang berjaya melepasi pertahanan pasukan pelawat sekali lagi berpeluang melebarkan jaringan dua minit kemudian, namun sepakannya diselamatkan Khairul Fahmi.

Pasukan pelawat akhirnya memperoleh gol penyamaan menerusi Mohamed Ghaddar pada minit-61.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...