Saturday, May 14, 2011

Jaga ‘periuk nasi’ kita – Safiq

PETALING JAYA - Ketua pasukan skuad negara, Safiq Rahim meminta rakan seperjuangan agar tidak mensia-siakan bakat masing-masing meskipun tertanya-tanya sama ada ‘penyakit’ rasuah bola sepak masih subur di negara ini.


“Kita sebagai pemain perlu menjalankan tanggungjawab di atas padang dan sentiasa beraksi dengan tahap terbaik buat pasukan.


‘‘Saya turut menasihatkan diri saya dan pemain lain bahawa Tuhan sudah berikan kita bakat, gunakanlah dengan sebaik mungkin.


“Fikirkan juga inilah ‘periuk nasi’ kita dan masa depan bola sepak tanah air. Jika anda sudah pilih karier ini (pemain bola sepak profesional), bermain betul-betul,” katanya yang ditemui selepas majlis pengumuman Kejohanan Piala Perdana Manchester United (MUPC) Nike 2011 di Damansara di sini, semalam.
Safiq menambah: “Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran itu (kes menjual perlawanan), namun saya tidak berasa masih ada yang mencurigakan dalam persaingan Liga Malaysia ketika ini kerana setiap perlawanan memang getir dan tidak mudah dimenangi atau meletakkan siapa kuat dan siapa lemah.”


Dia mengulas laporan agensi berita asing, Selasa lalu bahawa Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton akan melawat Malaysia bersama sepasukan penyiasat berhubung dakwaan lebih 300 perlawanan di tiga benua, dipengaruhi sindiket mengatur keputusan perlawanan.


Mengulas penyenaraian semula penyerang handalan, Safee Sali dalam skuad pelatih negara bagi persahabatan menentang Hong Kong, 3 Jun ini, kata Safiq, 


“Inilah peluang untuk kami pemain lain mengambil dan berkongsi pengalamannya bermain dengan Pelita Jaya Indonesia dan gunakannya dalam perlawanan akan datang.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...