PEMAIN Terengganu, Mohd Ashaari Samsudin (kanan) menanduk bola ke gawang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Kuala Terengganu, Isnin lalu. |
Irfan tekad buru tiga mata pintas Kelantan, Selangor
ADA segala kemungkinan Terengganu mampu memintas Kelantan selaku pendahulu baru Liga Super buat julung kali musim ini andai berjaya menewaskan Johor FC di halaman lawan, malam ini.
Tambahan, anak didik Irfan Bakti juga amat mengharapkan agar Selangor turut pulang dari Alor Star tanpa mata penuh apabila menentang Kedah. Namun, segalanya tidak akan membutirkan hasil andai barisan dari pantai Timur itu gagal dalam misi memungut tiga mata.
Jurulatih pasukan, Irfan akan mengekalkan barisan terbaik kerana sedar hanya hanya kemenangan mampu menghidupkan peluang Terengganu memintas sekali pun buat seketika kerana Kelantan akan hanya turun padang menentang Negeri Sembilan di Paroi, esok.
Pengendali berkenaan mahu mengekalkan barisan serangannya - Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat - untuk memikul tugas mencari gol selepas kedua-duanya begitu serasi ketika membelasah Kuala Lumpur 4-0, Jumaat lalu.
“Saya mengarahkan semua pemain jangan leka di awal permainan dan pastikan mengasak tuan rumah,” katanya yang turut menyandarkan harapan kepada Ashaari Samsuddin untuk menyokong dua penyerang berkenaan.
Sementara itu, Abdul Hadi yang sudah mengumpul 11 gol berazam dapat menambah koleksi itu malam ini tetapi tetap mengharapkan bantuan rakan sepasukan lain untuk memastikan matlamat tiga mata dibawa pulang.
No comments:
Post a Comment