BERBISA...Wan Zack menolak bola masuk ke gawang Lubnan untuk gol kedua dan kemenangan Malaysia. |
SEMANGAT juang tinggi dipamer skuad Olimpik negara biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 40 minit terakhir untuk menewaskan Lubnan 2-1 pada pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 semalam dipuji jurulatih Ong Kim Swee.
Menurutnya, barisan pemain muda negara membuktikan kemampuan sebenar biarpun berdepan dengan asakan bertali arus Lubnan yang hanya perlu mencari gol penyamaan untuk meranapkan impian Malaysia di laman sendiri.
“Pemain membuktikan kemampuan walaupun beraksi dengan 10 pemain selama 40 minit, mereka begitu bersungguh-sungguh, menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi untuk memenangi perlawanan malam ini (semalam).
“Bagaimanapun bagi saya ini hanya satu permulaan dan banyak lagi yang perlu diperbaiki kerana saingan kita lebih mencabar di pusingan ketiga,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, Malaysia berjaya mencipta gemilang hasil ledakan dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Mohd Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor.
Bagaimanapun skuad negara sedikit tertekan apabila beraksi dengan 10 pemain apabila pemain tengah bertahan Gary Steven Robbart dilayangkan kad merah pada minit ke-50.
Kesempatan itu pantas diambil Lubnan yang merapatkan kedudukan pada minit ke-63 menerusi Chadi Atie. Biarpun diasak bertubi-tubi, benteng pertahanan kekal ampuh bertahan untuk memastikan Malaysia layak ke pusingan ketiga buat kali pertama sejak 1984.
Ketika ditanya mengenai detik getir 40 minit terakhir itu, Kim Swee berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa harapan skuad Olimpik negara akan musnah di tangan Lubnan selepas mereka kehilangan Gary yang banyak berfungsi mengekang asakan di bahagian tengah.
Pada perlawanan pertama pusingan kedua di Beirut Ahad lalu, kedua-dua pasukan terikat 0-0.
Skuad Olimpik negara sebelum ini layak ke pusingan kedua selepas mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0 Mac lalu. Kejayaan menempah tiket ke pusingan ketiga ini membolehkan mereka mendapat tempat untuk bersaing dengan 11 lagi pasukan terbaik Asia di peringkat kumpulan bagi merebut slot ke Sukan Olimpik London 2012 bermula September depan.
Kali terakhir Malaysia layak ke temasya sukan terbesar itu di Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972.
No comments:
Post a Comment