Tuesday, June 28, 2011

Tujuh pemain digugurkan

PETALING JAYA - Jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal akhirnya menemui ilham dalam menyenaraikan 23 pemain terakhir yang akan menggalas tanggungjawab bertemu Taiwan dalam perlawanan timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014, malam esok.

Tiada sebarang kejutan jika diteliti tujuh nama pemain terakhir yang digugurkan antaranya termasuk Syed Adney Syed Hussain, K. Sasikumar, Mohd. Rizal Fahmi Rosid, Yong Kuong Yong, Azmi Muslim, Hisyamudin Shaari serta Shahrizal Saad.

Menurut Rajagobal, dia bertindak menggugurkan beberapa pemain seperti Syed Adney dan Hisyamudin kerana mereka baru pulih daripada kecederaan manakala Azmi serta Shahrizal masih dibelenggu kecederaan.

''Syed Adney baru sembuh daripada kecederaan pangkal paha sementara Hisyamudin pula di bahagian buku lali.

''Namun, saya terpaksa menggugurkan Azmi kerana masih cedera di buku lali sementara Shahrizal belum cergas sepenuhnya.

''Bagi Sasikumar, Rizal dan Yong, bukannya mereka tidak bagus tetapi kita inilah pemain yang saya fikir terbaik untuk diturunkan buat masa ini," katanya yang ditemui selepas sesi latihan di Wisma FAM, semalam.

Ketiadaan Azmi di bahagian bek kiri hanya membuatkan Asraruddin Putra Omar, satu-satunya pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut, namun situasi itu tidak mencemaskan Rajagobal.

''Kita akan lihat pilihan yang ada dan mengikut keperluan selepas bertemu dengan Taiwan, tidak semestinya kita perlu memanggil Zubir Azmi, Fandi Othman atau Zarul Fitri.

''Dalam skuad sedia ada, kita masih ada beberapa pilihan iaitu meletakkan Mahalli Jasuli atau Mohd. Fadhli Shas yang boleh bermain di posisi tersebut," katanya.

Pada sesi latihan semalam, dua penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahya serta pemain lincah The Red Warriors, S. Chanturu dilihat berjaya mengikuti sesi latihan penuh dan berpeluang cerah untuk diturunkan.

''Kita akan tengok esok, jika mereka benar cergas, baru saya akan buat kepastian siapa yang akan berada dalam kesebelasan utama," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...