Penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (kiri) menjalani latihan bersama dua lagi rakan sepasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, menjelang perlawanan Kelayakan Olimpik menentang Lebanon, hari ini. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin |
PETALING JAYA - Dalam keghairahan memburu gol awal, Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya mengelak gawang sendiri pula yang dibolosi lebih awal apabila berdepan Lebanon pada aksi timbal balik Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Jurulatih skuad Olimpik negara itu juga mengingatkan pemain supaya jangan tenggelam dalam keghairahan, jika tidak mahu berputih mata untuk menyempurnakan kelebihan aksi di laman sendiri setelah mengikat pasukan lawan di Beirut, Ahad lalu.
Menurutnya, jaringan awal oleh pasukan lawan bakal memusnahkan peluang skuad negara, kerana ia pastinya menyukarkan pemain untuk bangkit.
Katanya, kelebihan juga sedikit memihak kepada lawan, kerana jika keputusan seri dengan jaringan gol, Lebanon bakal dinobat pemenang berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.
"Untuk itu, jika terpaksa saya mungkin meletakkan lima penyerang kerana dalam perlawanan kalah mati ini, kami akan cuba melakukan segalanya untuk menang tetapi dalam masa yang sama tetap berhati-hati ketika menyerang," katanya pada sidang media mesyuarat pengurus pasukan sempena perlawanan Malaysia dan Lebanon di Wisma FAM, semalam.
Skuad negara yang mengikat Lebanon tanpa jaringan di Beirut Ahad lalu, akan mara ke pusingan akhir kelayakan Olimpik jika mengatasi Lebanon.
Cuma kem negara menerima perkhabaran kurang menyenangkan apabila khidmat pertahanan kanan, Mahalli Jasuli terpaksa dilupakan, kerana digantung satu perlawanan akibat mengutip dua kad kuning.
"Ketiadaan Mahalli pastinya akan dirasai kerana dia bukan sahaja pemain utama skuad Olimpik, tetapi berpengalaman luas kerana turut menjadi tonggak pasukan senior kebangsaan.
"Namun, tanpa Mahalli, saya masih boleh menyandarkan harapan kepada pemain lain seperti Mohd. Affize Faisal atau Fandi Othman pada posisi tersebut, " katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee mempertahankan penyerang tinggi lampai pasukannya, Izzaq Faris Ramlan, yang dikritik pada perlawanan dengan di Beirut Ahad lalu, kerana sekadar mempamerkan permainan hambar.
''Dia sebenarnya mempunyai prestasi yang baik dalam Liga Super, juga dalam perlawanan antarabangsa yang dilalui sebelum ini.
"Dia masih memerlukan pendedahan berterusan di peringkat antarabangsa untuk muncul penjaring sejati," katanya.
Kim Swee menyedari skuadnya diletakkan harapan tinggi oleh peminat yang mahu melihat skuad negara layak ke Olimpik seperti pada 1972 dan 1980.
"Peminat sudah semakin yakin terhadap skuad kebangsaan tetapi kita perlu melepasi satu per satu halangan.
"Jika kita mara ke pusingan seterusnya, ia adalah masa yang sesuai untuk memasang impian dan cuba mencipta satu lagi sejarah," katanya.
No comments:
Post a Comment