Saturday, June 25, 2011

Kim Swee berdepan dilema

Ketua pasukan yang juga penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (depan) mengetuai rakan sepasukan berterima kasih kepada penyokong setelah pasukan negara mengatasi Lebanon 2-1 pada Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. - UTUSAN/NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUALA LUMPUR - Dilema baru melanda jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee selepas anak buahnya mara ke pusingan akhir bola sepak Kelayakan Olimpik 2012 selepas menundukkan Lebanon 2-1 secara agregat, kelmarin.

Tiket ke peringkat kumpulan kelayakan yang disahkan menerusi jaringan Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor di Stadium Nasional Bukit Jalil, kini membingungkan Kim Swee dalam memberikan keutamaan sama ada Kelayakan Olimpik atau Sukan SEA Indonesia 2011.

Katanya, sebagai juara bertahan, Sukan SEA masih menjadi keutamaan, namun beliau mendapati jadual perlawanan kedua pusingan akhir Olimpik jatuh dua atau tiga hari selepas Sukan SEA dirasmikan.

"Mengenai pemain (sebahagian besarnya daripada Kelayakan Olimpik), mungkin tidak begitu dirisaukan kerana saya boleh mendapatkan beberapa tonggak skuad kebangsaan macam Baddrol Bakhtiar dan Bunyamin Umar yang masih boleh bermain dalam Sukan SEA.

"Saya akan cuba kaji keadaan ini dan mungkin meminta FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) merayu kepada pihak berkenaan termasuk FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) supaya menunda perlawanan ke tarikh yang lain," katanya.

Pusingan akhir Kelayakan Olimpik bagi mencari tiga setengah tempat (termasuk penentuan dengan wakil Afrika) dijangka berlangsung pada September, sementara Sukan SEA Ke-26 di Palembang dan Jakarta dijadualkan dari 11 hingga 22 November.

Selain Malaysia, turut menyertai kumpulan 12 pasukan Asia ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 ialah Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan, Iraq, Oman, Bahrain, Qatar, Syria, Arab Saudi, Uzbekistan dan Australia.

Undian bagi menentukan kumpulan mana pusingan akhir kelayakan yang akan disertai 'Khairul Fahmi Che Mat dan rakan' akan ditetapkan pada 7 Julai di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil.

Kata Kim Swee: "Saya fikir kita tiada pilihan ke kumpulan yang dikehendaki. Cuma jika tahu lawan lebih awal, kita akan bersedia lebih rapi seperti sebelum menghadapi Lebanon apabila saya ke sana untuk mengintip persahabatan mereka dengan Turki."

Pasukan yang layak seterusnya akan dibahagikan kepada tiga kumpulan, dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat pasukan dan bermain secara timbal balik dari 21 September hingga 14 Mac 2012 dengan hanya juara kumpulan, layak automatik ke Olimpik London tahun depan.

Naib juara ketiga-tiga kumpulan ini akan berentap pada pusingan penentuan di sebuah gelanggang sahaja dari 25 hingga 29 Mac 2012, dengan pemenangnya akan menentang wakil Afrika bagi perebutan tiket terakhir Olimpik.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi temasya terbesar dunia itu dipulaukan atas arahan kerajaan yang membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Olimpik pertama yang menyaksikan aksi Malaysia ialah di Munich 1972 dengan berjaya menewaskan Amerika Syarikat 3-0, tetapi dikalahkan Maghribi 6-0 dan Jerman 3-0 pada peringkat kumpulan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...