DAKWAAN rasuah dilontar ke atas skuad Harimau Malaya hanya akan menguatkan lagi semangat sepasukan untuk membuktikan tanggapan itu salah.
Firasat itu diluahkan kapten pasukan, Mohd Safiq Rahim yang bertekad memimpin pasukan merakamkan kemenangan ke atas Myanmar dalam siri persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Penyerang skuad Selangor itu menyuarakan rasa sedih kenyataan tempoh hari yang ditakrif olehnya sebagai ‘menghina pengorbanan pemain’ selama ini.
“Saya dan rakan sepasukan sedih kerana kami sudah mengerah tenaga di padang untuk negara yang kami sanjung dan sayangi ini,” katanya sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang menyebut pemain Harimau Malaya dan skuad Olimpik sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan rasuah dan mengatur perlawanan.
Dia juga kecewa dengan dakwaan tidak benar itu yang dibuat tanpa sebarang bukti.
Apapun, Safiq menyuarakan betapa dia dan rakan sudah bersedia menggalas tanggungjawab diberi ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal memastikan Malaysia mencipta kemenangan, malam ini dan berjanji memberi aksi terbaik untuk menidakkan segala tanggapan negatif terhadap skuad negara.
“Saya sedia memikul harapan rakyat Malaysia memastikan pasukan negara tidak dikecewakan malam ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment