Tuesday, June 28, 2011

Raja utama skuad dahulu

PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal mungkin sudah dapat mengagak rentak permainan Taiwan namun dia masih belum mahu meletakkan pemerhatian menerusi video ketika pasukan itu beraksi di Piala Cabaran, Mac lalu sebagai satu rumusan tepat bagi menilai keupayaan pasukan berkenaan.
Katanya, sama seperti pasukan negara, lawan juga mungkin melakukan pertukaran pemain yang dilanda kecederaan atau pun memasukkan nama baru dalam kesebelasan utama sebelum menghadapi Malaysia di pusingan pertama, kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Begitupun, bagi ketua jurulatih pasukan negara yang masih mengekalkan rekod tanpa kekalahan, tahun ini enggan terlalu memikirkan keupayaan lawan, sebaliknya mahu mementingkan skuad terlebih dulu bagi memastikan anak didiknya dapat membawa bekalan selesa untuk perlawanan timbal balik kedua di laman lawan pada 3 Julai ini. 

“Saya sudah memberitahu pemain bagaimana mereka (Taiwan) bermain. Kemungkinan mereka macam kita juga, ada yang menghadapi kecederaan atau pun memasukkan pemain baru dalam pasukan. Walaupun begitu, kita sedikit sebanyak tahu cara mereka bermain. 

“Sebagai contoh biarpun baru bermain dengan sesuatu pasukan seperti Lubnan, kita tidak boleh mengagak corak mereka bermain selepas itu kerana setiap kali perlawanan pastinya ada pertukaran corak permainan atau pun strategi. Apa yang penting kita perlu lakukan tugas yang diberi dengan baik nanti,” katanya yang ditemui selepas latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam. 

Skuad kebangsaan yang sebelum ini mengalami masalah kecederaan, tampaknya sudah boleh menarik nafas lega apabila beberapa nama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakri Saarani dan Abdul Hadi Yahya semakin beransur pulih. 


Bagi Rajagobal, senarai kesebelasan utama diturunkan nanti akan ditentukan selepas latihan akhir, petang ini. 

“Untuk perlawanan pertama ini, mana-mana jurulatih pun ingin bermula dengan baik dan menghasilkan kemenangan dan kita mahu mentaliti seperti ini diterapkan dalam pasukan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...