AYAM tambatan Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhili terpaksa berehat panjang kerana akan menjalani pembedahan kecederaan bahu yang dialami ketika menentang Kelantan di Kota Bahru dalam saingan Liga Super, Selasa lalu.
Jurulatih Perak, Norizan Bakar mengesahkan pembedahan itu dan Akmal terlepas peluang beraksi dalam pertemuan terakhir liga bertemu Selangor di Stadium Perak 6 Julai nanti.
“Saya akan menyediakan pengganti sesuai untuk memikul peranan penyerang. Apa yang pasti kami akan memberi saingan sengit kepada Selangor,” katanya.
Ketiadaan Akmal pasti melegakan Selangor yang berasa tugas meraih mata penuh akan lebih mudah dalam usaha mempertahankan gelaran mereka.
Begitupun Norizan tidak pasti berapa lama penjaring gol utama pasukan Kejor Yob Kejor itu terpaksa berehat tapi berharap Akmal akan pulih menjelang saingan Piala Malaysia.
Jurulatih itu berkata, peluang Seladang menamatkan cabaran pada kedudukan terbaik iaitu di tangga keempat masih ada dengan syarat memenangi perlawanan terakhir itu sambil berharap Kedah kehilangan mata.
“Apapun boleh berlaku dan pemain perlu berusaha memastikan kejayaan pada perlawanan terakhir itu. Yang pasti kami mahu menamatkan saingan dengan kemenangan,” katanya.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Jan berkata, tempoh rehat panjang hampir tiga minggu akan dipergunakan sebaik mungkin untuk menyediakan pasukan khusus berdepan Selangor.
“Tumpuan kami ialah perlawanan terakhir itu. Ia penting buat menentukan kedudukan Perak dalam saingan liga dan sehubungan itu pemain harus bersedia dari semua segi bagi menghadapi pertarungan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment