KECEDERAAN dua pemain sayap, Mohd Fandi Othman dan Wan Zack Haikal Wan Nor mencetuskan sedikit keresahan di kem skuad Olimpik negara menjelang pertembungan kedua dengan Lubnan bagi memburu tiket ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik London 2012.
Menurut jurulatih negara, Ong Kim Swee, beliau akan memantau tahap kecergasan pemain itu selepas mengalami kecederaan kecil di bahagian kaki pada perlawanan pertama pusingan kedua di Beirut yang berkesudahan seri 0-0 Ahad lalu.
“Fandi dan Wan Zack cedera ringan di kaki pada perlawanan sebelum ini. Saya belum pasti sama ada kedua-dua pemain ini akan bermain dalam perlawanan kedua.
“Saya akan menilai keadaan mereka apabila turun menjalani latihan malam ini (tadi), saya harap mereka akan pulih dan dapat beraksi semula,” katanya.
Mohd Fandi yang beraksi di sayap kiri manakala gandingannya Wan Zack di bahagian kanan beraksi cemerlang pada perlawanan pertama apabila kerap mengkucar-kacirkan pertahanan lawan serta mencipta peluang untuk penyerang, Izzaq Faris Ramlan menjaringkan gol.
Malah Wan Zack turut memiliki dua peluang untuk menghasilkan gol pada babak kedua, namun rembatannya dalam kotak penalti diselamatkan penjaga gol Lubnan, Mohamad Dakramanji sebelum dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-75 akibat kecederaan.
Mengulas mengenai perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, Kim Swee berkata, beliau tetap berwaspada dengan ancaman Lubnan biarpun mengaku semangat anak buahnya semakin memuncak untuk mengatasi halangan pasukan pilihan dari negara Arab itu.
“Saya akan mengarahkan pemain supaya berhati-hati dan tidak gopoh apabila bermain dengan Lubnan. Walaupun kita kena mencari gol untuk menang tapi penting untuk memastikan pintu gol kita tidak dibolosi,” katanya yang tiba bersama pasukannya dari Beirut, semalam.
Malaysia mara buat kali pertama ke Sukan Olimpik 1972 di Munich. Selepas itu, Malaysia sekali lagi layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow namun kerajaan Malaysia memboikot temasya sukan terbesar itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
No comments:
Post a Comment