KUALA LUMPUR - Skuad Olimpik bimbingan Ong Kim Swee sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega apabila berjaya mengikat pasukan tuan rumah, Lebanon 0-0 dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik London 2012 di Stadium Sports City, Beirut, semalam.
Aksi pemain bawah 23 tahun negara boleh dipuji selepas berjaya bertahan dengan baik mengekang asakan lawan dan sekali-sekala cuba mengancam melalui beberapa percubaan yang hampir menghasilkan gol.
Bagaimanapun, aksi separuh masa pertama memperlihatkan Malaysia lebih gemar untuk bertahan dan hanya beberapa kali melakukan serangan balas pantas ke arah kubu lawan menerusi dua percubaan tepat.
Kedua-dua percubaan tersebut dilakukan oleh Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-11 dan susulan rembatan dari bahagian kanan gawang Lebanon berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Mohamad Hijazi.
Malaysia sekali mempunyai peluang terbaik untuk merobek gawang lawan pada minit ke-21 selepas Mohd. Fandi Othman melakukan hantaran jauh menuju ke arah penyerang Izzaq Faris Ramlan namun tandukannya tersasar.
Separuh masa kedua barulah memperlihatkan skuad muda negara menunjukkan permainan yang lebih positif apabila kerap mengasak skuad Lebanon termasuk percubaan jarak jauh dari Wan Zack pada minit ke-54, namun sekali lagi penjaga gol lawan menjadi penghalang.
Pemain Harimau Muda A yang beraksi dalam Liga Super itu sekali lagi melakukan percubaan pada minit ke-62 bagi membawa bekalan selesa menjelang perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis ini, namun dia gagal menyudahkan hantaran rendah K. Gurusamy.
Lebanon dilihat memperlahankan rentak pada aksi separuh masa kedua sekali gus memberi peluang buat Malaysia mengawal perlawanan.
No comments:
Post a Comment