Thursday, June 30, 2011

Belum selamat

Pemain Malaysia, Aidil Zafuan Abd. Razak (tengah) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan, S. Kunanlan pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 2-1. - REUTERS

KUALA LUMPUR - Masih belum selamat. Kemenangan 2-1 ke atas Taiwan tidak memberikan sebarang jaminan apabila skuad negara bertandang ke Taipei dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Ahad ini.

Harimau Malaya tidak sepatutnya membenarkan Taiwan pulang dengan satu gol yang hanya meletakkan anak-anak buah Datuk K. Rajagobal tidak terlepas menghadapi situasi cemas, sekalipun menang di Bukit Jalil, semalam.

Sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol hasil jaringan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-27 dan Aidil Zafuan Abd. Radzak pada minit ke-54, kempen awal Malaysia tampak meyakinkan sebelum gawang negara dirobek lawan tatkala pertahanan kita alpa seketika.

Nada Rajagobal tampak sedikit kecewa selepas dua gol yang meletakkan Malaysia agak selesa, akhirnya bertukar kepada situasi mencemaskan.

''Rentak permainan kita tidak mencapai seperti apa yang dikehendaki.''
Itu rumusan Rajagobal ketika skuad kebangsaan gagal mencari bekalan selesa dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 untuk bertandang ke padang lawan, Ahad ini.

Menurutnya, pemain negara melepaskan peluang untuk mencatat jaringan lebih baik, apabila gagal memanfaatkan peluang menambah gol walaupun mendahului lawan 2-0.

"Namun, sebaliknya pasukan lawan pula yang menggegarkan gawang skuad kita, yang memberikan mereka kelebihan apabila beraksi di tempat sendiri selepas ini.

"Apa yang dapat saya katakan rentak permainan kita malam ini tidak seperti yang diharapkan sehingga gagal mencari bekalan selesa untuk aksi kedua nanti," tegasnya.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, Malaysia selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Safiq dan Aidil Zafuan.

Namun, kelekaan barisan pertahanan skuad negara menyebabkan gawang dibolosi pada minit ke-75 oleh Chen Po Liang.

Tambah Rajagobal, babak pertama memperlihatkan betapa pasukan negara mempamerkan kesungguhan walaupun bermula tidak begitu agresif pada 20 hingga 30 minit pertama perlawanan.

Katanya, selepas beliau membuat pertukaran pada kedua-dua bahagian sayap, corak permainan pasukan kebangsaan mula agresif.

"Selepas pertukaran dibuat barulah kita lihat beberapa pergerakan menarik sehingga menjaringkan dua gol.

"Ketika itu saya harap pemain dapat menjaringkan gol ketiga sebagai bekalan selesa apabila beraksi di tempat lawan di padang mereka.

"Namun, pemain gagal menterjemahkan beberapa peluang gol yang mereka peroleh. Malah, bahagian pertahanan mula tidak berdisiplin apabila saya membuat pertukaran ekoran kecederaan yang dialami Safee Sali.

"Peluang kita belum berakhir dan saya berazam untuk kami beraksi dengan lebih baik pada aksi di tempat lawan selepas ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...